JEFFERSON CITY: Syarikat penerbangan Southwest Airlines baru-baru ini memberikan penghormatan kepada seorang veteran tentera era Perang Dunia Kedua dengan meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-102.
Dalam satu hantaran di Instagram, syarikat penerbangan itu mendedahkan perancangan mereka membuat kejutan sambutan hari jadi istimewa untuk Helen Marie Horvath atas permintaan anaknya.
Menurut syarikat itu, apabila Helen tiba di Saint Louis, veteran berkenaan disambut dengan sorakan, kibaran bendera AS dan plakad tertera selamat hari jadi, selain diberi bunga dan dipakaikan mahkota.
Pada majlis itu, Helen juga berkongsi mengenai kisah kehidupannya dengan pekerja syarikat penerbangan tersebut.
Helen menceritakan perjalanan hidupnya semasa berkhidmat dengan tentera Amerika Syarikat (AS) sejak berusia 21 tahun dan menerima Honorable Discharge atas jasanya.
Syarikat penerbangan turut memuat naik beberapa gambar sambutan hari jadi Helen, bersama catatan terperinci mengenai kehidupan veteran itu di laman Instagram.
Dalam satu gambar, veteran yang berkerusi roda itu kelihatan memakai mahkota dan dikelilingi oleh individu yang memegang belon dan hiasan parti.
Dua pekerja syarikat juga dilihat sedang memegang hiasan tertera nombor 102 untuk menandakan umur Helen.
Gambar berkenaan dikongsi dengan kapsyen tertera `terima kasih Helen atas perkhidmatan anda dan kepada Stesen Saint Louis kerana memberi veteran itu sambutan hari jadi yang tidak dapat dilupakan’.
Rata-rata warganet yang tersentuh dengan tindakan Southwest Airlines mengucapkan terima kasih kerana menjadikan hari jadi veteran itu amat istimewa. – AGENSI