Serangan paling berdarah di Hospital Khan Yunis

Serangan paling berdarah di Hospital Khan Yunis

PENDUDUK membantu mengangkat mayat mangsa yang maut dalam serangan udara tentera Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pertempuran sengit berlaku di selatan Semenanjung Gaza dengan beberapa hospital turut di serang dan dikepung di barat Khan Yunis, menyebabkan puluhan pesakit disekat daripada menerima rawatan kecemasan.

Tentera Israel mara jauh ke daerah Al-Mawasi berhampiran Pantai Mediterranean dalam pertempuran yang disifatkan paling berdarah di Gaza sepanjang bulan ini.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata, rejim Zionis bertindak menyerbu hospital Al-Khair dan menangkap beberapa kakitangan perubatan dengan puluhan kereta kebal turut mengepung hospital, Al-Amal yang menjadi ibu pejabat Bulan Sabit Merah Palestin.

Al-Qidra berkata, sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh semalaman di Khan Yunis dan pengepungan kemudahan perubatan itu menyebabkan penyelamat gagal membantu berpuluh-puluh penduduk yang meninggal dunia dan cedera.

“Pendudukan Israel menghalang kenderaan ambulans daripada bergerak untuk mendapatkan mayat para syahid dan mereka yang cedera dari barat Khan Yunis,” katanya.

Israel mendakwa Hamas beroperasi dari dalam dan sekitar hospital tersebut walaupun dinafikan kumpulan pejuang dan kakitangan perubatan.

“Hamas menerapkan operasinya di dalam dan di bawah hospital dan kemudahan perubatan lain,” kata wakil badan tentera Israel yang bertanggungjawab bagi hal ehwal awam di wilayah Palestin (COGAT), Elad Goren.

Israel melancarkan serangan besar-besaran minggu lalu untuk menawan Khan Yunis yang kini didakwa sebagai ibu pejabat utama Hamas.

Fasa terbaharu perang membawa pertempuran jauh ke sudut terakhir wilayah tersebut walaupun kawasan itu diketahui penuh sesak dengan pelarian yang dipindahkan.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza dalam kemas kini terbaharu memaklumkan sekurang-kurangnya 25,295 penduduk Gaza terbunuh sejak 7 Oktober lalu.

Video menunjukkan keadaan tragis wad trauma di Hospital Nasser, satu-satunya kemudahan perubatan utama yang masih berfungsi dan boleh diakses di Khan Yunis dengan  penduduk cedera hanya dirawat di atas lantai dipenuhi darah.

Beberapa lelaki turut dilihat menggali kubur di dalam kawasan hospital kerana tidak lagi selamat untuk keluar ke tanah perkuburan bagi mengebumikan mayat keluarga mereka.

“Lebih 40 orang dikebumikan di kawasan hospital ini. Seorang lelaki dilihat meletakkan mayat seorang kanak-kanak kecil yang dibalut dengan kain kafan putih ke dalam lubang cetek di dalam pasir.

“Sangat sukar untuk meninggalkan kompleks dan pergi ke mana-mana tanah perkuburan dan mengebumikan mereka kerana kami dikepung dan sesiapa yang meninggalkan kompleks ini akan menjadi sasaran.

“Kami turut melalui malam yang paling mengerikan dengan tembakan yang tidak terhenti walaupun seminit. Bangunan terasa bergegar beberapa kali dan serpihan batu jatuh menimpa kami,” kata seorang penduduk, Abdelkarim Ahmad.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya