PERRY: Seorang remaja bersenjatakan pistol dan senapang patah menembak mati rakan pelajar serta mencederakan lima yang lain di sebuah sekolah menengah di Iowa, Amerika Syarikat (AS).
Pihak polis menerima laporan mengenai kes tembakan sekitar jam 7.30 pagi dan bergegas ke Perry High School ketika kelas masih belum bermula.
Menurut penolong pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Iowa, mangsa yang maut, Mitch Mortvedt merupakan pelajar gred enam berusia 12 tahun yang mungkin berada awal di sekolah bagi program sarapan.
Pengetua sekolah, Dan Marburger turut cedera sementara seorang pelajar berada dalam keadaan serius tetapi tidak mengancam nyawa manakala empat lagi pelajar stabil.
Penembak dikenal pasti sebagai Dylan Butler, 17, merupakan pelajar sekolah tersebut dan pihak berkuasa mengesahkan suspek ditemui mati dengan kesan tembakan yang menunjukkan dia membunuh diri.
Motif serangan masih disiasat dan Butler dikatakan menghantar beberapa mesej menerusi media sosial sebelum melakukan tembakan rambang itu.
Pihak berkuasa turut menemui bahan letupan buatan sendiri di sekolah berkenaan yang berjaya dilupuskan.
Pihak sekolah mengumumkan kelas hari ini dibatalkan dan sesi kaunseling akan disediakan untuk pelajar yang terkesan dengan insiden itu.-AFP