NEW YORK: Kajian global terbaharu mendapati lebih seorang daripada 20 remaja kini mengambil produk penurunan berat badan tanpa preskripsi seperti pil diet atau julap.
Lapor Sky News, satu daripada 10 remaja turut didapati mengambil ubat diet sepanjang hayat mereka dengan remaja perempuan secara ketara lebih cenderung untuk berbuat demikian.
Menurut kajian itu, pil diet adalah produk penurunan berat badan yang paling kerap digunakan oleh remaja, diikuti dengan julap dan bahan diuretik.
Penyelidikan itu diterbitkan dalam jurnal perubatan akses terbuka bulanan JAMA Network Open oleh Persatuan Perubatan Amerika.
Data tersebut melibatkan satu pusingan 90 kajian ke atas 604,552 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah termasuk penyelidikan dari United Kingdom (UK), Eropah, Amerika Utara, Caribbean dan Asia.
Penduduk yang paling kerap menggunakan produk penurunan berat badan ialah di Amerika Utara, Asia dan Eropah.
Penulis kajian yang diketuai oleh Sekolah Kesihatan Awam dan Pencegahan Universiti Monash Melbourne berkata, produk penurunan berat badan tidak disyorkan dari segi perubatan untuk mengekalkan berat badan yang sihat di awal usia remaja.
“Produk berkenaan tidak berfungsi, berbahaya, dikaitkan dengan pertambahan berat badan yang tidak sihat pada masa dewasa dan boleh meningkatkan risiko untuk didiagnosis dengan gangguan pemakanan dalam masa beberapa tahun dari permulaan penggunaan.
“Tambahan pula, penggunaan produk penurunan berat badan yang tidak ditetapkan untuk kanak-kanak dikaitkan dengan rasa rendah diri, kemurungan, pengambilan pemakanan yang kurang bernutrisi dan penggunaan bahan terlarang,” jelasnya.
Penemuan itu turut mencetus kebimbangan kesihatan awam kerana wujud korelasi antara penggunaan produk sedemikian dengan gadis yang mempunyai masalah rasa rendah diri atau tekanan daripada ibu bapa, kumpulan rakan sebaya, dan media sosial untuk menurunkan berat badan.