TOKYO: Rakaman masa nyata menyaksikan bagaimana tumbuhan berkomunikasi antara satu sama lain didedahkan pasukan saintis dari Jepun baru-baru ini.
Menurut majalah Science Alert, tumbuhan dikelilingi oleh kabus halus sebatian bawaan udara seperti bau yang digunakan untuk berkomunikasi dan memberi amaran tentang bahaya berdekatan.
Video yang dirakam oleh saintis Jepun berjaya mendedahkan bagaimana tumbuhan menerima dan bertindak balas terhadap penggera udara itu.
Pencapaian penting yang diketuai oleh Ahli Biologi Molekul, Masatsugu Toyota dari Universiti Saitama, diterbitkan dalam jurnal Nature Communications.
Pasukan itu memerhatikan bagaimana tumbuhan bertindak balas terhadap sebatian organik meruap (VOC) yang dikeluarkan oleh pokok lain yang rosak akibat serangga.
“Tumbuhan melihat VOC yang dikeluarkan oleh tumbuhan jiran yang rosak secara mekanikal atau herbivor dan mendorong pelbagai tindak balas pertahanan. Komunikasi sedemikian melindungi tumbuhan daripada ancaman alam sekitar, ” jelas kajian itu.
Kumpulan saintis itu menggunakan pam udara yang disambungkan ke bekas daun dan ulat bersama satu lagi kotak dengan Arabidopsis thaliana, rumpai biasa dari keluarga biji sawi sebelum merakam komunikasi antara tumbuhan tersebut.
“Ulat dibenarkan memakan daun yang dipotong daripada tomato dan Arabidopsis thaliana, dengan penyelidik merakam tindak balas tumbuhan kedua yang masih utuh dan bebas serangga terhadap isyarat bahaya tersebut.
“Biosensor yang bersinar hijau dan ion kalsium dikesan. Tumbuhan yang tidak rosak menerima mesej jiran mereka yang cedera, dan bertindak balas dengan semburan isyarat kalsium yang beralun di atas daun mereka.
“Isyarat kalsium adalah sesuatu yang juga digunakan oleh sel manusia untuk berkomunikasi. Kami akhirnya mendedahkan kisah rumit tentang bila, di mana, dan bagaimana tumbuhan bertindak balas terhadap ‘mesej amaran’ di udara daripada jiran mereka yang terancam,” kata Toyota.