Ribuan penduduk Palestin tidur beratap langit

Ribuan penduduk Palestin tidur beratap langit

SEBUAH bas mini membawa penduduk yang melarikan diri tiba di Rafah di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan, ribuan penduduk Gaza yang melarikan diri ke selatan kini terpaksa tinggal di kawasan terbuka dan tempat lapang di taman-taman awam.

TIDUR DI TAMAN

Situasi itu berlaku akibat kesesakan teruk di kem dan pusat bantuan kendalian mereka selepas perpindahan besar-besaran terbaharu minggu lalu.

Menurut pejabat kemanusiaan PBB (OCHA), sejak beberapa hari kebelakangan ini, sekurang-kurangnya 100,000 orang melarikan diri ke Rafah yang bersempadan dengan Mesir di selatan Gaza.

Keadaan itu menyebabkan keperluan kemanusiaan Gaza meningkat mendadak namun UNRWA hanya diberi kuasa untuk membawa masuk bantuan yang sangat terhad dan jelas tidak mencukupi untuk diedarkan kepada pelarian yang baharu tiba.

Perpindahan itu juga berikutan arahan tentera Israel yang menggesa orang awam untuk meninggalkan tengah Gaza berikutan pertempuran sengit rejim Zionis untuk menghapuskan Hamas di kawasan berkenaan

“Terdapat lebih sejuta orang mencari perlindungan di Rafah kini.

“Puluhan ribu lagi pendatang baharu tiba setiap hari hingga keadaan menjadi semakin sesak. Tiada lagi ruang kosong di sekolah UNRWA dan kemudahan perbandaran lain untuk menempatkan mereka.

“Keadaan ini menyebabkan ratusan keluarga kini tidur di tempat terbuka, hanya berbaring di atas kepingan plastik tanpa selimut dan alas untuk melindungi mereka daripada kesejukan,” kata Pengarah UNRWA, Thomas White.

TIADA TEMPAT SELAMAT

Sementara itu, seorang bapa, Ahmad al-Amoudi menceritakan pengalaman serupa selepas melarikan diri ke Rafah bersama keluarganya akibat pengeboman kejam Israel di kediaman mereka di tengah Gaza.

Dia berkata, keluarganya terpaksa menghabiskan tiga hari tidur di kawasan taman di tepi jalan dan mereka tidak mempunyai selimut, pakaian atau makanan.

Pada hari ketiga, mereka diberitahu tempat itu tidak selamat kerana terdapat loji kumbahan berhampiran dengannya.

“Lokasi itu tidak sesuai untuk kehidupan manusia.

“Saya bimbang dengan kesihatan anak-anak. Mereka mula menggaru badan dan mengalami sakit dada dan banyak lagi masalah,” katanya.

Ahmad yang kini dapat berkongsi tinggal di salah satu khemah pelarian di Rafah masih khuatir dengan nasib diri dan keluarganya kerana keperluan makanan dan air bersih yang semakin berkurangan.  

PENGHANTARAN VAKSIN

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), ancaman penyakit semakin meningkat di pusat perlindungan sementara di Semenanjung Gaza dengan puluhan ribu orang tinggal dalam keadaan bersesak.

Perkhidmatan kesihatan di kawasan berkenaan sudah sekian lama terbeban dan gelombang pemindahan baharu yang diarahkan tentera Israel menjadikan tugas mereka semakin sukar dan mencabar.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi platform media sosial X berkata, jangkitan pernafasan dan cirit-birit adalah antara penyakit paling banyak dilaporkan di pusat perlindungan kecemasan.

Kira-kira 180,000 orang menderita jangkitan pernafasan, manakala lebih 136,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami cirit-birit yang boleh mengancam nyawa jika tidak dirawat.

Terdapat juga lebih 55,000 kes kutu dan kudis.

Menurut OCHA, Tabung Kanak-kanak PBB sudah menghantar 600,000 dos vaksin ke Semenanjung Gaza pada Jumaat lalu.

Matlamatnya adalah untuk kanak-kanak menerima imunisasi rutin pada tahun depan walaupun dilanda perang. 

Imunisasi itu, termasuk difteria, tetanus dan batuk kokol.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya