Remaja obes berisiko hidap penyakit buah pinggang

Remaja obes berisiko hidap penyakit buah pinggang ketika dewasa

OBESITI di usia remaja meningkatkan risiko mendapat penyakit buah pinggang.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Kajian terbaharu menunjukkan remaja yang mengalami masalah berat badan berisiko tinggi menghidap penyakit buah pinggang ketika meningkat dewasa.

Berdasarkan kajian yang diterbitkan jurnal JAMA Pediatrics, obesiti meningkatkan risiko penyakit buah pinggang sebanyak sembilan kali ganda pada remaja lelaki dan empat kali ganda pada remaja perempuan.

Malah penambahan beberapa kilogram berat badan meningkatkan risiko penyakit buah pinggang.

“Kaitan itu terbukti walaupun pada mereka yang mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) yang sihat tetapi  tinggi ketika remaja, lebih ketara pada lelaki dan mungkin muncul sebelum umur 30 tahun,” kata Ketua Pasukan Penyelidik, Dr. Avishai Tsur dari Jabatan Perubatan Tentera Universiti Ibrani Israel.

Kajian itu menjejaki lebih 593,000 remaja Israel berumur 16 hingga 20 tahun yang dilahirkan selepas 1974, yang kesemuanya menjalani penilaian perubatan untuk perkhidmatan ketenteraan wajib.

Selepas purata susulan selama 13 tahun, penyelidik mendapati hampir 2,000 peserta mengalami penyakit buah pinggang kronik awal.

“Remaja lelaki yang mengalami obesiti teruk mempunyai risiko penyakit buah pinggang sembilan kali lebih tinggi, manakala yang mempunyai obesiti ringan, risikonya hampir tujuh kali ganda sementara tahap berat badan berlebihan mempunyai empat kali ganda peningkatan risiko.

“Perkara sama berlaku untuk remaja perempuan. Risiko empat kali lebih tinggi untuk obesiti yang teruk, hampir tiga kali untuk obesiti ringan, dan lebih daripada dua kali ganda risiko untuk berat badan berlebihan.

“Analisis kami menunjukkan, walaupun tanpa kejadian diabetes atau hipertensi, risiko penyakit buah pinggang meningkat sebanyak 1.5- hingga 2.7 kali ganda untuk orang yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti ketika remaja,” jelas kajian itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya