AMMAN: Raja Jordan menggesa Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken supaya mendesak pelaksanaan gencatan senjata di Gaza dan menamatkan krisis kemanusiaan tercetus akibat perang selama tiga bulan.
Lapor Al Jazeera, istana menerusi kenyataan memaklumkan Raja Abdullah II bertemu dengan Blinken yang dalam lawatan ke Asia Barat yang bertujuan mencegah konflik Israel-Hamas daripada merebak.
Menurut kenyataan itu, Raja Abdullah II turut memberi amaran kepada Blinken mengenai `implikasi buruk’ akibat pencerobohan berterusan terhadap Gaza.
Sekurang-kurangnya 22,835 orang terbunuh termasuk 9,600 kanak-kanak dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.
Jelas kenyataan istana, Raja Abdullah II juga mengulangi peranan penting AS dalam menekankan pelaksanaan gencatan senjata segera di Gaza, selain perlindungan orang awam dan menjamin penghantaran bantuan perubatan dan kemanusiaan.
Blinken dalam rangka lawatan selama seminggu yang bermula Jumaat lalu di Turkiye, selaku negara yang menawarkan untuk menjadi pengantara.
Diplomat tertinggi AS itu juga bakal mengadakan lawatan ke Arab Saudi, Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Israel dan Tebing Barat yang mana Blinken akan menyampaikan mesej bahawa Washington tidak mahu konflik Gaza merebak serantau.
Blinken juga berharap untuk mencapai kemajuan dalam perbincangan mengenai pentadbiran Gaza selepas perang.
Sementara itu, menurut kenyataan Kementerian Luar dan Ekspatriat Jordan, Blinken bertemu dengan Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi yang membincangkan mengenai senario masa depan yang menyatukan Tebing Barat dan Gaza sebagai asas penyelesaian dua negara untuk Palestin dan Israel.
Jordan menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1994 dan Raja Abdullah menegaskan keperluan penyelesaian dua negara terhadap persoalan Israel-Palestin, selain menegaskan `bantahan penuh’ Jordan terhadap sebarang pemindahan paksa penduduk Palestin dari Gaza dan Tebing Barat.
Sementara itu, seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS yang turut berada lawatan itu memaklumkan bahawa Blinken akan terus mendesak negara-negara Islam supaya bersedia memainkan peranan dalam pembinaan semula, tadbir urus dan keselamatan Gaza.