MOSCOW: Presiden Russia, Vladmir Putin mengeluarkan dekri membenarkan rakyat asing yang berjuang untuk negara tersebut di Ukraine memperoleh kewarganegaraan bersama dengan ahli keluarga mereka yang lain.
Menurut perintah yang dikeluarkan kelmarin, rakyat asing yang menandatangani kontrak menyertai misi yang dipanggil Moscow sebagai operasi khas ketenteraan di Ukraine boleh memohon pasport Russia untuk diri, pasangan, anak-anak dan ibu bapa mereka.
Bagi tujuan tersebut, mereka perlu menyediakan bukti dokumen yang menunjukkan persetujuan menyertai operasi berkenaan selama sekurang-kurangnya satu tahun.
Mereka yang layak termasuk individu yang menandatangani kontrak dengan angkatan bersenjata atau formasi tentera lain, istilah yang digunakan untuk kumpulan seperti organisasi upahan Wagner.
Langkah itu bertujuan mewujudkan insentif tambahan bagi warga asing yang mempunyai pengalaman ketenteraan untuk memohon menyertai tentera Russia.
Moscow tidak mengeluarkan data sebenar mengenai jumlah warga asing yang bertempur bagi pihaknya di Ukraine.
Bagaimanapun, Reuters sebelum ini melaporkan mengenai rakyat Cuba yang mendaftar sebagai tentera Russia bagi mendapatkan tawaran habuan bonus bersamaan lebih 100 kali ganda purata gaji bulanan di negara itu.
Selain itu agensi media turut mendedahkan tiga warga Afrika yang direkrut oleh Wagner, di mana dua daripadanya terbunuh dalam pertempuran.
Laporan perisikan Amerika Syarikat (AS) berkata, perang Ukraine menyebabkan 315,000 orang tentera Russia terbunuh dan cedera.-REUTERS