BANDAR SERI BEGAWAN: Dengan sekali lafaz, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, selamat diijabkabul bersama pasangannya, Anisha Rosnah dalam sebuah majlis mewah di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, semalam.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja itu berlangsung kira-kira pukul 2.17 petang semalam.
Majlis tersebut berlangsung dengan penuh istiadat Brunei dan turut berkenan disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta kaum kerabat diraja.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei (RTB), dengan Mateen, mengenakan busana serba putih.
Mateen, 32, ialah anak ke-10 kepada Sultan Hassanal Bolkiah, raja paling lama memerintah di dunia dan pernah menjadi orang terkaya di dunia dan berada di bawah urutan pewarisan.
Pengantin perempuannya, Anisha, 29, merupakan cucu kepada salah seorang penasihat utama bapa Mateen dilaporkan mempunyai jenama fesyen dan memiliki perniagaan pelancongan bersama.
Perayaan untuk perkahwinan diraja ini dijangka mencapai kemuncaknya pada hari Ahad ini dengan upacara gemerlapan di dalam istana yang memiliki 1,788 bilik dan disertai perarakan.
Senarai tetamu dijangka dihadiri kerabat diraja antarabangsa dan pemimpin politik.
“Ia seperti kisah dongeng,” kata pelajar universiti Syahida Wafa Mohamed Shah, 22, kepada AFP pada hari Rabu, berhampiran Masjid Omar Ali Saifuddien, tempat perkahwinan itu akan dilangsungkan.
Ramai rakyat Brunei merancang untuk berbaris di jalanan untuk perarakan Ahad ini apabila pasangan itu akan melalui kereta diraja.
“Ia seperti sesuatu dalam filem,” kata Nazatul Izzati Saifulrizal, 19.
Keanggunan dan kemeriahan acara ekstravaganza diraja menyerlahkan kekayaan melampau negara kecil itu yang hampir keseluruhannya diperoleh daripada rizab minyaknya yang besar.
Negara beraja mutlak dengan undang-undang Islam yang ketat dan populasi hanya sekitar 450,000 orang, Brunei adalah salah satu negara terkaya di dunia.
Walaupun Mateen tidak mungkin akan menaiki takhta, pengikutnya yang ramai dalam media sosial menjadikannya salah seorang ahli keluarga diraja yang berprofil tinggi.
Mateen lulus sebagai pegawai kadet di Royal Military Academy Sandhurst dan mewakili negaranya dalam sukan polo di Sukan Asia Tenggara 2019.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beliau memainkan peranan yang semakin meningkat dalam diplomasi antarabangsa.
Putera raja itu mengiringi bapanya ke pertabalan Raja Charles dan Ratu Camilla pada Mei tahun lalu, dan pengebumian Ratu Elizabeth pada 2022.-AFP