KHAN YUNIS: Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) merayu masyarakat dunia dan Pergerakan Palang Merah serta Bulan Sabit Merah Antarabangsa untuk segera campur tangan bagi melindungi Hospital Al-Amal dan premisnya di Semenanjung Gaza berikutan ancaman serangan udara berterusan rejim Zionis.
PRSC dalam satu kenyataan berkata, usaha itu termasuk melindungi kakitangan perubatan, pesakit dan kira-kira 14,000 orang pelarian yang mencari perlindungan di hospital itu, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva Keempat.
Lapor agensi berita WAFA, PRCS menyuarakan kebimbangan terhadap serangan berulang kali tentera di premisnya dan Hospital Al-Amal di bandar Khan Yunis di Semenanjung Gaza.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah melaporkan, rejim Zionis bertindak membedil beberapa tingkat di ibu pejabatnya sejak tiga hari lalu, dengan pengeboman terbaharu berlaku pagi semalam.
Menurut kenyataan itu, sasaran berterusan terhadap bangunan persatuan itu mengakibatkan tujuh individu kehilangan tempat tinggal termasuk seorang bayi berusia lima hari manakala 11 yang lain turut cedera.
Serangan udara Israel turut mengenai puluhan bangunan kediaman dan perkhemahan orang awam berhampiran serta sekitar hospital, mengakibatkan berpuluh-puluh lagi kematian.
Badan itu berkata, serangan udara Israel turut memusnahkan satu-satunya stesen penghantaran komunikasinya yang tinggal selepas penamatan pelbagai perkhidmatan telekomunikasi di wilayah Khan Yunis.
Tindakan kejam itu menghalang keupayaan kru perubatan kecemasan untuk bertindak balas segera bagi membantu mangsa yang cedera, pesakit dan kes kecemasan lain.
Persekitaran Hospital Al-Amal berdepan serangan sengit selama hampir dua minggu, sekali gus meletakkan nyawa individu yang dipindahkan dalam bahaya.