Presiden AS 2024: Mahkamah Agung tentukan nasib Trump

Presiden AS 2024: Mahkamah Agung tentukan nasib Trump

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk mendengar kes Donald Trump bagi menentukan sama ada beliau layak bertanding dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024 atau sebaliknya.

Lapor BBC, panel hakim menerima permohonan rayuan Trump untuk menyemak keputusan mahkamah Colorado yang menyingkirkannya daripada senarai undian negeri pilihan raya presiden 2024.

Kes tersebut akan dibicarakan pada bulan depan dan keputusan itu terpakai di seluruh negara.

Mahkamah menetapkan tarikh 8 Februari depan untuk mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.   

Tuntutan undang-undang difailkan terhadap bekas presiden itu di beberapa negeri bertujuan membatalkan kelayakan Trump, dengan alasan beliau terkait `hasutan pemberontakan’ yang mencetuskan rusuhan Capitol AS tiga tahun lalu.

Pendakwaan itu bergantung pada sama ada pindaan Perlembagaan era Perang Saudara boleh menyebabkan Trump tidak layak untuk bertanding sebagai calon.   

Pindaan ke-14 Perlembagaan AS melarang mana-mana individu yang terlibat dalam `pemberontakan’ daripada memegang jawatan Persekutuan.

Bagaimanapun, pasukan peguam bela Trump berpandangan syarat itu tidak terpakai kepada Presiden.

“Keputusan mahkamah Colorado dilihat secara tidak berpelembagaan  bakal menafikan hak berjuta-juta pengundi di negeri itu.

“Malah, ia juga berkemungkinan digunakan sebagai templat untuk melucutkan hak puluhan juta pengundi di seluruh negara,” jelas peguamnya.

Dilaporkan, pasukan guaman Trump dijangka memfailkan hujahan mereka pada 18 Januari ini.

Pasukan pendakwaan pula perlu mengemukakan hujahan mereka selewat-lewatnya pada 31 Januari ini.   

Dilaporkan, Trump juga mengemukakan permohonan untuk menyemak keputusan pegawai tertinggi pilihan raya Maine yang melarang bekas presiden AS itu bertanding dalam pilihan raya negeri itu.    

Keputusan 4-3 yang diperoleh Mahkamah Tinggi Colorado bulan lalu menandakan kali pertama dalam sejarah AS bahawa Pindaan ke-14 digunakan untuk membatalkan kelayakan calon presiden daripada senarai undian.

Malah, ini adalah kali pertama Mahkamah Agung AS akan mempertimbangkan bagaimana untuk mentafsir klausa berkenaan.

Mahkamah di Minnesota dan Michigan menolak permohonan untuk membatalkan kelayakan Trump.

Bagaimanapun, beberapa kes lain termasuk di Oregon masih belum selesai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya