WASHINGTON: Polis menerima laporan tentang panggilan robot palsu yang meniru suara Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa pengundi untuk tidak menyertai pilihan raya utama di New Hampshire.
Penerima melaporkan mendapat panggilan robot tersebut daripada nombor telefon bimbit peribadi bekas Pengerusi Demokrat negeri, Kathy Sullivan yang membantu mengendalikan kumpulan politik pro-Biden di New Hampshire.
Siasatan dibuka ke atas panggilan tersebut dan pasukan kempen calon Presiden Republikan, Donald Trump menafikan sebarang penglibatan dalam kes itu.
Dalam mesej itu, satu suara mirip Biden memberitahu pengundi supaya tidak perlu hadir di pusat pengundian sebaliknya menyimpan undi mereka untuk pilihan raya umum pada bulan November ini.
“Republikan cuba mendorong pengundi bukan partisan dan Demokrat untuk mengambil bahagian dalam pemilihan utama mereka. Betapa buruknya,” kata mesej itu.
Tiada peraturan yang mengatakan individu yang mengundi dalam pemilihan utama tidak dibenarkan membuang undi dalam pilihan raya umum.
Pejabat peguam negara New Hampshire dalam satu kenyataan berkata, petunjuk awal menyatakan mesej tersebut dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) walaupun kedengaran jelas seperti suara Biden.
“Mesej tersebut nampaknya adalah percubaan yang menyalahi undang-undang untuk mengganggu pilihan raya dan pengundi harus mengabaikan kandungan mesej ini sepenuhnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, aktivis keamanan turut melancarkan kempen menulis perkataan ‘gencatan senjata’ pada kertas undi sebagai simbolik protes terhadap pengurusan Biden berhubung konflik Israel-Hamas.
Pakatan antiperang tempatan, Vote Ceasefire berkata, usaha itu membolehkan rakyat AS menyuarakan kemarahan mereka terhadap presiden Demokrat berhubung jumlah kematian orang awam yang semakin meningkat di Gaza.
Kempen kertas undi itu juga bertujuan memberi tekanan kepada White House untuk segera membantu menyelesaikan isu keganasan Israel di Gaza.
“Sejak tiga bulan lalu, ketika dunia melihat perang di Gaza terus bertambah buruk, pentadbiran Biden menolak semua tuntutan untuk menggesa gencatan senjata dan menamatkan sokongan AS untuk Israel.
“Jadi, kami akan meneruskan perjuangan kami ke tempat yang paling diminati Demokrat iaitu pilihan raya.
“Walaupun Biden hampir pasti akan memenangi pencalonan Demokrat pada akhir tahun ini, beliau mesti tahu bahawa jalan untuk ke sana akan menjadi panjang dan sukar jika enggan mendengar suara pengundinya”, kata kumpulan itu di laman X.-AGENSI/AFP