JAKARTA: Kenyataan Joko Widodo (Jokowi) berhubung Presiden Indonesia dibenarkan berkempen dan boleh memihak mana-mana individu pada Pilihan Raya Presiden dan Pilihan Raya Umum 2024 (Pemilu) mengundang reaksi daripada pelbagai pihak.
Di tengah-tengah perbincangan hangat mengenai isu itu, pihak Istana Presiden bagaimanapun menegaskan, Jokowi ketika ini tidak bercadang untuk berbuat demikian (berkempen).
“Walaupun peraturan pilihan raya membenarkannya, namun, sehingga kini, Presiden Jokowi tidak bercadang untuk berkempen,” kata Koordinator Staf Khas Presiden Ari Dwipayana kepada pemberita.
Menurut Ari, Jokowi berada di Yogyakarta sejak minggu lalu.
Selain itu, katanya, Jokowi juga dijangka mengadakan lawatan kerja ke Jawa Tengah untuk merasmikan acara di Akademi Tentera Magelang.
“Beberapa hari lalu, presiden berada di Yogyakarta dan Jawa Tengah untuk lawatan kerja termasuk perasmian kampus Universitas Nadhatul Ulama dan bakal melancarkan acara di Akademi Tentera Magelang,” katanya.
Jokowi mengeluarkan kenyataan mengenai isu kebenaran presiden untuk berkempen ketika menjawab pertanyaan wartawan di Pangkalan Udara Halim, Jakarta pada minggu lalu.
Ketika itu, Jokowi berkata, selain presiden, menteri juga boleh menyertai dalam kempen diadakan menjelang Pemilu yang akan berlangsung pada 14 Februari depan.
“Presiden boleh berkempen malah beliau juga boleh memihak, ia masih dibenarkan,” kata Jokowi.
Bagaimanapun, Jokowi menegaskan sebarang jentera dan aset kerajaan tidak seharusnya digunakan bagi tujuan berkempen oleh parti politik. – AGENSI