Perkhidmatan telekomunikasi di Gaza terputus lagi

Perkhidmatan telekomunikasi di Gaza terputus lagi

PENDUDUK Palestin berjalan di tengah-tengah bangunan yang rosak dan musnah akibat serangan Israel, berhampiran pasar Al-Zawiya di Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Perkhidmatan telekomunikasi di Gaza sekali lagi disekat sepenuhnya di tengah-tengah serangan Israel mengorbankan puluhan penduduk di beberapa bandar wilayah Palestin itu semalaman.

Ratusan ribu penduduk Gaza bergelut dengan kelaparan yang dahsyat dan cuaca sejuk melampau ketika perang antara zionis dan kumpulan pejuang Hamas memasuki hari ke-98.

Pengendali rangkaian mudah alih, Paltel mengesahkan semua talian telefon dan internet di Semenanjung Gaza mengalami gangguan sepenuhnya.   

“Kami dukacita untuk mengumumkan bahawa semua perkhidmatan telekomunikasi di Semenanjung Gaza sudah hilang akibat pencerobohan berterusan

“Gaza sekali lagi kembali gelap,” jelas Paltel dalam hantaran di aplikasi X.

Sementara itu, wartawan AFP melaporkan, serangan dan tembakan artileri dilepaskan ke kawasan antara bandar selatan Khan Yunis dan Rafah, yang sesak dengan orang ramai yang melarikan diri dari utara Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, pengeboman semalaman membunuh sekurang-kurangnya 59 orang dan mencederakan puluhan lagi di seluruh wilayah yang dikepung itu.

Tentera Israel berkata, pihaknya membunuh tujuh pejuang Palestin dalam serangan di Khan Yunis dan 20 lagi di kawasan Maghazi di utara enklaf itu.

Gambar AFP menunjukkan kepulan asap hitam di ruang udara Rafah dan Khan Yunis. 

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, lebih 23,700 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, akibat serangan Israel ke atas Gaza.

Israel melakukan pengeboman tanpa henti, di samping pencerobohan darat di Gaza, sejak pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.

Sebuah badan amal berpangkalan di Britain, Oxfam berkata, angka kematian harian rakyat Palestin dalam perang Israel ke atas Gaza lebih tinggi berbanding mana-mana konflik besar lain pada abad ke-21. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya