GAZA: Peperangan di Gaza berlanjutan ke bulan keempat ketika tentera Israel terus menggempur wilayah Palestin dengan serangan kejam tanpa menghiraukan peningkatan korban orang awam.
Diplomat tertinggi Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken turut kembali ke Asia Barat untuk mengelakkan peningkatan serangan yang lebih meluas.
Pengeboman Israel membunuh sekurang-kurangnya 113 orang dalam tempoh 24 jam lalu dengan dua wartawan antara yang menjadi mangsa apabila kereta mereka dilanggar di Rafah.
Wartawan yang terbunuh dikenal pasti sebagai Mustafa Thuria yang bertugas sebagai perakam video untuk agensi berita Al Jazeera, AFP dan beberapa media lain.
Seorang lagi mangsa, Hamza Wael Dahdouh merupakan wartawan televisyen Al Jazeera dan anak kepada ketua biro rangkaian Qatar di Gaza yang sebelum ini kehilangan isteri dan dua anaknya dalam serangan Israel.
“Hamza adalah segala-galanya bagi saya. Saya berharap darah anak lelaki saya, Hamza adalah darah wartawan dan penduduk terakhir yang mengalir akibat kekejaman di Gaza,” kata bapanya, Wael kepada saluran Al Jazeera.
Serangan udara juga meragut nyawa orang awam di bandar selatan Khan Yunis dan di Rafah di mana ramai penduduk yang kehilangan tempat tinggal mencari perlindungan.
Tentera Israel yang mendakwa sudah membubarkan kepimpinan tentera Hamas di utara Gaza melaporkan membunuh ramai pejuang di tengah Gaza, termasuk dalam serangan dron di kem pelarian Bureij.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekali lagi berikrar pada mesyuarat kabinet dengan mesej yang jelas menghapuskan Hamas bagi mengelak kejadian pada 7 Oktober lalu tidak berulang.
Menurut tentera Israel, kumpulan pejuang Hamas mengambil kira-kira 250 tebusan, 132 daripadanya kekal dalam tahanan sementara sekurang-kurangnya 24 orang dipercayai terbunuh.
Pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat rejim Zionis sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 22,835 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Semasa perang Gaza, keganasan turut tercetus antara Israel dan kumpulan bersenjata Hezbollah Lubnan yang disokong Iran dengan tembakan rentas sempadan berlaku hampir setiap hari, memaksa Israel mengosongkan komuniti berhampiran sempadan.
Hezbollah turut menembak 62 roket ke pangkalan tentera Israel, beberapa hari selepas serangan di Beirut yang membunuh Timbalan Pemimpin Hamas, Saleh al-Aruri.
Blinken melabelkan permusuhan sempadan sebagai kebimbangan besar dan berikrar melakukan segala yang mungkin untuk memastikan tiada peningkatan ketegangan merebak di sekitar Asia Barat.-AFP