Perang Gaza bakal merebak ke Beirut?

Perang Gaza bakal merebak ke Beirut?

PENDUDUK Palestin mengadakan protes mengecam serangan Israel di Lubnan yang membunuh pemimpin kanan Hamas, Saleh al-Arouri, di bandar Ramallah, Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Timbalan Ketua Hamas, Saleh al-Arouri dilaporkan terbunuh dalam serangan dron dilancarkan tentera Israel di ibu negara Lubnan kelmarin.

Sumber keselamatan Lubnan dan Palestin mengesahkan Saleh terkorban bersama-sama pengawal peribadinya serta lima individu lain.

Insiden itu secara tidak langsung meningkatkan potensi risiko perang di Gaza boleh merebak jauh di luar wilayah Palestin.

Saleh, 57, merupakan pemimpin kanan politik Hamas pertama yang dibunuh sejak Zionis melancarkan serangan udara dan darat terhadap kumpulan pejuang itu hampir tiga bulan lalu dalam serangan mengejut Hamas ke atas Israel.

Anggota kumpulan Hezbollah yang bersenjata lengkap berbalas tembakan hampir setiap hari dengan Israel merentasi sempadan selatan Lubnan sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober tahun lalu.

Pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah memberi amaran keras kepada Israel supaya tidak melakukan sebarang pembunuhan di bumi Lubnan, selain berjanji untuk memberi `tindak balas buruk’ 

Menurut kumpulan Hezbollah, pasukannya melancarkan peluru berpandu menyasarkan sekumpulan tentera Israel di sekitar Marj berikutan pembunuhan Saleh.

Rejim Zionis sudah lama menuduh Saleh melakukan serangan yang menyebabkan kematian di Israel.

Namun, seorang pegawai Hamas memaklumkan Saleh juga berada `di tengah-tengah rundingan’ dikendalikan oleh Qatar dan Mesir berhubung isu konflik Gaza dan pembebasan tebusan Israel yang ditahan Hamas.

Setakat ini, Israel belum mengesahkan mahupun menafikan melakukan pembunuhan itu.

Namun, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari memaklumkan pasukannya berada dalam keadaan bersiap sedia untuk sebarang senario.

“Apa yang paling penting adalah tentera kami kekal fokus memerangi pejuang Hamas,” katanya ketika ditanya mengulas mengenai pembunuhan Saleh.

Saleh juga merupakan pengasas bersama sayap Hamas, Briged Izz-el-Deen al-Qassam.

Israel menuduh Saleh mengarahkan dan menyelia serangan Hamas di Tebing Barat yang dijajah Israel selama bertahun-tahun.  

Sementara itu, jurucakap kementerian luar Iran, Nasser Kanaani berkata, pembunuhan Saleh `sudah tentu akan mencetuskan satu lagi gelombang penentangan dan motivasi untuk memerangi penjajah Zionis’.

“Ia bukan sahaja di Palestin tetapi juga di rantau ini dan dalam kalangan semua pencari kebebasan di seluruh dunia,” katanya.

Dilaporkan, beratus-ratus rakyat Palestin turun ke jalanan di Ramallah dan beberapa bandar lain di Tebing Barat untuk mengutuk pembunuhan Saleh.

Penunjuk perasaan protes sambil melaungkan slogan `balas dendam, balas dendam Qassam’. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya