NEW YORK: Seorang penumpang dihalau daripada menaiki penerbangan selepas didakwa sengaja kentut hingga mencetus kekecohan di dalam kabin pesawat.
Kisah itu tular dalam media sosial selepas diceritakan semula oleh salah seorang penumpang yang turut berada di dalam penerbangan tersebut.
Insiden itu didakwa berlaku dalam penerbangan American Airlines dari Phoenix, Arizona menuju ke Austin, Texas baru-baru ini.
Menurut kisah di laman Reddit, penumpang berkenaan mulanya membebel sendirian sebelum secara tiba-tiba memarahi orang sekeliling yang memandangnya.
“Ketika beberapa penumpang sedang menikmati makanan ringan, lelaki itu sengaja kentut dengan kuat tanpa rasa malu.
“Dia kemudian berkata, ‘ya, semua orang mari kita makan makanan yang paling busuk pada masa yang sama’.
“Agak menjengkelkan melihat seorang lelaki dewasa berkelakuan demikian di hadapan beberapa penumpang wanita yang tidak langsung mengganggunya,” jelas kisah itu.
Sikap lelaki berkenaan menyebabkan perang mulut dengan beberapa penumpang lain yang mengakui semakin kurang senang dengan kelakuannya.
Selepas keadaan semakin tegang, pramugari tampil meleraikan pergaduhan sebelum membuat pengumuman pesawat itu berpatah balik ke pintu berlepas dan meminta lelaki itu keluar.
“Selepas diarah turun, lelaki itu mengambil begnya dan keluar dari pesawat. Perjalanan ditangguhkan selama kira-kira 30 minit tetapi penumpang lain semuanya merasa lega selepas itu,” jelasnya lagi.-AGENSI