Penduduk Thai bimbang projek jambatan darat beri impak negatif

Penduduk Thai bimbang projek jambatan darat Thailand beri impak negatif

THOM Sinsuwan bimbang mengenai masa depan kawasan kediaman dan tempat menangkap ikan berhampiran tapak cadangan jambatan darat Thailand. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANONG: “Tolonglah saya, projek jambatan darat itu akan membina pelabuhan di kawasan ini. Ia betul-betul berada berhampiran rumah saya.

“Itu tempat saya mencari rezeki, tolonglah kami menangguhkan projek ini.”

Demikian gesaan seorang penduduk bernama Thom Sinsuwan kepada Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin ketika beliau mengadakan lawatan ke wilayah selatan Ranong pada bulan lalu.  

Wanita berusia 64 tahun itu dilaporkan tinggal di antara kawasan hutan bakau yang merentasi pesisiran pantai Ranong sejak lebih tiga dekad lalu.        

Malah, Thom bersama komuniti nelayan lain yang tinggal di kawasan sama dikatakan bakal berdepan perubahan besar yang dikhuatiri boleh  menyukarkan lagi kehidupan mereka.  

Thom antara penduduk terlibat yang merintih kawasan kediaman dan kampung mereka akan lupus berikutan projek mega itu.   

Malah, penduduk berkenaan turut menyuarakan kebimbangan punca pendapatan mereka akan terjejas sekiranya projek itu diteruskan.

Gesaan Thom dilihat sebagai usaha untuk mendapat perhatian sewajarnya serta tanda ramai penduduk tempatan di dua wilayah itu yang bimbang dengan prospek projek mega di kawasan mereka.     

Dari kepulauan Andaman, kawasan hutan bakau dan pelabuhan bandar Ranong sehingga ke tanah ladang pergunungan bersebelahan taman negara, tempat penangkapan ikan dan kebun kelapa di Teluk Siam, ramai penduduk menghadapi ketidakpastian mengenai perubahan yang boleh memberi kesan kepada kehidupan dan persekitaran mereka.

Thom yang membantah projek mega itu menyatakan dia mahu kawasan  penempatannya tidak diganggu oleh gelombang perindustrian.

“Saya amat bimbang dengan projek jambatan darat ini. Saya tahu kawasan perumahan kami akan terjejas dan kami akan kehilangan tempat pencarian rezeki.

“Kami tidak tahu ke mana lagi hendak pergi jika tempat itu sudah dilupuskan.

“Yang pastinya, saya tidak akan meninggalkan tempat ini,” katanya. 

Semasa lawatan Srettha, sekumpulan penduduk menyerahkan petisyen untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap projek pembinaan jambatan darat itu.  

Sejak memegang tampuk pemerintahan pada Ogos tahun lalu, Srettha giat mengadakan pelbagai jerayawara (roadshow) bagi meneruskan rancangan negara untuk membangunkan projek jambatan darat yang menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Siam.

Melalui projek itu, laluan sejauh 90 kilometer yang akan dibina dijangka dapat memendekkan perjalanan menerusi laut selama empat hari dan kos dijimatkan sehingga 15 peratus 

Dua pelabuhan laut akan dibina di wilayah Ranong dan Chumphon, serta dihubungkan dengan laluan sejauh 90km, kereta api dan saluran paip merentasi Kra Isthmus.  

Dilaporkan, projek mega itu sudah lama tergendala sejak dicetuskan Raja Narai pada 1677 dan apabila siap kelak, ia bakal mengurangkan kesesakan trafik ribuan kapal di Selat Melaka. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya