JAKARTA: Calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyindir wujudnya segelintir individu bermuka tebal walaupun sebelum ini beliau pernah membantunya namun dibalas dengan niat jahat.
Menteri Pertahanan itu membuat kenyataan demikian ketika menghadiri acara perjumpaan sukarelawan wilayah Riau di Pusat Sukan Belia di Pekanbaru.
Pada mulanya, Prabowo ketika berucap bertanya para penyokongnya sama ada mereka sudah menonton debat calon presiden yang diadakan pada Ahad lalu.
Prabowo kemudian menyindir seorang individu yang digelarnya sebagai `bermuka tebal’ dikatakan membuatkan pasangan calon naib presidennya, Gibran Rakabuming Raka terdiam.
“Apa yang menghairankan adalah terdapat segelintir individu yang tebal muka, ia amat luar biasa.
“Kadang kala saya tidak jawab pertanyaan mereka kerana saya sangat kagum dengan individu sedemikian,” katanya sepertimana dilaporkan Kompas.com dan CNN Indonesia.
Prabowo juga mengakui beliau pernah membantu individu berkenaan namun sebaliknya hanya dibalas dengan niat jahat.
“Saya suka memelihara haiwan, malah binatang akan berbuat baik kepada kita selepas diberi makan.
“Ada manusia yang kita beri sokongan, beri segala-galanya tetapi akhirnya dibalasnya dengan niat jahat.
“Saya hanya geleng kepala tetapi tidak mengapa kerana saya percaya rakyat Indonesia bijak menilai siapa yang benar dan sebaliknya,” katanya.