PBB, EU kutuk hukuman mati banduan AS guna gas nitrogen

PBB, EU kutuk hukuman mati banduan AS guna gas nitrogen

KENNETH EUGENE SMITH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATMORE: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan aktivis mengutuk hukuman mati pertama seorang banduan Amerika Syarikat (AS) yang dilaksanakan menggunakan gas nitrogen.

Kenneth Eugene Smith dihukum mati untuk kali kedua malam Khamis lalu di penjara negeri di Atmore, Alabama.

Banduan itu menjalani hukuman suntikan maut dua tahun lalu, tetapi kakitangan penjara menghadapi masalah untuk memasukkan talian intravena, menyebabkan prosedur itu gagal dilaksanakan.

Smith disabitkan pada tahun 1989 kerana membunuh isteri seorang pendakwah, Elizabeth Sennett, atas arahan suaminya.

Proses pelaksanaan hukuman menghirup gas nitrogen bermula pada pukul 7.53 malam (waktu tempatan) dan Smith disahkan meninggal dunia pada 8.25 malam (waktu tempatan).

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, kaedah nitrogen hypoxia yang belum teruji mungkin sama dengan penyeksaan, layanan yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah.

Dalam satu kenyataan, pegawai EU turut menggelar hukuman tersebut sangat kejam dan luar biasa.

Seorang wartawan yang menyaksikan hukuman mati itu berkata, Smith berdepan seksaan yang teruk sebelum disahkan meninggal dunia.

“Saya pernah melihat empat hukuman mati sebelum ini tetapi tidak pernah menyaksikan banduan  terseksa seakan dibelasah melalui cara Smith bertindak balas terhadap gas nitrogen itu.

“Smith mula tercungap-cungap berulang kali dan kesakitan itu mengambil masa kira-kira 25 minit,” kata wartawan, Alabama Lee Hedgepeth kepada program Newsday BBC.

Menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati, menyedut gas nitrogen tulen menyekat bekalan oksigen ke otak dan prosedur itu tidak pernah digunakan sebelum ini dalam mana-mana pelaksanaan hukuman mati di dunia.

Pegawai Alabama dalam pemfailan mahkamah menjangkakan Smith tidak sedarkan diri dalam beberapa saat dan mati dalam beberapa minit tetapi, penasihat rohani Smith, Paderi Jeff Hood berkata, keadaan itu sebaliknya berlangsung sekitar setengah jam.

“Apa yang kami lihat adalah beberapa minit seseorang bergelut untuk hidup mereka. Pegawai di dalam bilik hukuman juga nampak sangat terkejut melihat betapa teruknya perkara ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Pembetulan Alabama, John Hamm berkata, hukuman itu berjalan seperti dirancang walaupun dalam tempoh lebih panjang kerana tindakan Smith yang cuba menahan nafas.

Dalam sidang media kelmarin, Peguam Negara Alabama, Steve Marshall berkata, beliau menjangkakan kaedah itu akan digunakan pada masa hadapan selepas Oklahoma dan Mississippi membenarkan penggunaan gas nitrogen untuk hukuman mati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya