GENEVA: Jawatankuasa Melindungi Wartawan yang berpangkalan di New York mendedahkan sekurang-kurangnya 79 wartawan dan profesional media, sebahagian besarnya rakyat Palestin, terbunuh sejak perang bermula di Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan angka korban nyawa melibat wartawan dalam peperangan itu.
Ahad lalu, dua wartawan Palestin televisyen Al Jazeera terbunuh di bandar selatan Rafah dalam insiden yang didakwa sebagai pembunuhan Israel.
“Sangat bimbang dengan jumlah kematian pekerja media yang tinggi di Gaza.
“Pembunuhan semua wartawan, termasuk Hamza Wael Dahdouh dan Mustafa Abu Thuria ekoran serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ke atas kereta mereka mesti disiasat secara menyeluruh.
“Kes itu juga perlu disiasat secara bebas untuk memastikan pematuhan ketat terhadap undang-undang antarabangs dan pelanggaran yang didakwa,” kata pejabat hak asasi PBB di laman X.
Hamza dan Mustafa, yang juga bekerja sebagai wartawan video bebas untuk AFP dan organisasi berita lain terbunuh ketika mereka dalam perjalanan untuk menjalankan tugas dengan rangkaian Al Jazeera di Semenanjung Gaza.
Wartawan bebas ketiga, Hazem Rajab turut dilarkan cedera parah dalam kejadian itu.
Saksi berkata, dua roket dilepaskan ke arah kereta itu, satu mengenai bahagian hadapan kenderaan dan satu lagi mengenai Hamza yang duduk di sebelah pemandu.
Ditanya mengenai tuduhan serangan yang disasarkan ke atas wartawan, Florencia Soto Nino, timbalan jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di New York, berkata, perkara itu masih belum dapat disahkan badan berkenaan.
“Tetapi apa yang kami tahu ramai daripada wartawan meninggal dunia dan kami sudah berulang kali menyeru agar profesion mereka dihormati supaya mereka dapat melakukan tugas dengan bebas dan selamat,” katanya.
Jawatankuasa Melindungi Wartawan yang berpangkalan di New York berkata, sekurang-kurangnya 79 wartawan dan profesional media, sebahagian besarnya rakyat Palestin, telah terbunuh sejak perang bermula.-AFP