Parlimen Turkiye luluskan keanggotaan Sweden dalam NATO

Parlimen Turkiye luluskan keanggotaan Sweden dalam NATO

RECEP Tayyip Erdogan (kiri) bersama Jens Stoltenberg (tengah) dan Tobias Billstrom ketika pertemuan di ibu pejabat NATO di Brussels, Belgium.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Parlimen Turkiye akhirnya meratifikasi bidaan keanggotaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), menyelesaikan halangan terbesar untuk mengembangkan pakatan tentera Barat yang tertangguh hampir dua tahun.

Perhimpunan Agung Turkiye mengundi 287 berbalas 55 untuk meluluskan permohonan yang pertama kali dibuat Sweden pada 2022 bagi meningkatkan keselamatannya sebagai tindak balas terhadap pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine.

Semua ahli NATO perlu meluluskan permohonan daripada negara yang ingin menyertai pakatan itu.

“Kami menyokong perluasan NATO untuk meningkatkan usaha pencegahan perikatan itu. Kami berharap sikap Finland dan Sweden terhadap inisiatif memerangi keganasan menjadi contoh kepada sekutu kami yang lain,” kata Ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Luar Parlimen dan anggota Parti AK, Fuat Oktay.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS), Jeff Flake dan Menteri Luar Sweden, Tobias Billstrom turut mengalu-alukan kelulusan yang dibuat Parlimen Turkiye.

“Kami kini menantikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menandatangani dokumen pengesahan,” kata Billstrom dalam satu kenyataan bertulis.

Erdogan dijangka menandatangani undang-undang itu dalam beberapa hari lagi, meninggalkan Hungary yang dikatakan mempunyai hubungan mesra dengan Russia sebagai satu-satunya negara anggota yang belum meluluskan penyertaan Sweden.

Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban memaklumkan sudah menjemput rakan sejawatnya dari Sweden untuk melawat dan berunding tentang perkara itu sebelum Parlimen dibuka sekitar pertengahan Februari.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg turut gembira dengan langkah Turkiye dan berharap Hungary segera menyelesaikan ratifikasi kebangsaannya secepat mungkin.

Turkiye dan Hungary sebelum ini dilaporkan mengekalkan hubungan yang lebih baik dengan Russia berbanding ahli lain NATO.

Semasa menentang pencerobohan Russia ke atas Ukraine, Turkiye mengkritik sekatan Barat ke atas Moscow. 

Dalam pada itu, bidaan keahlian Sweden menandakan peralihan bersejarah daripada dasar keselamatan tidak bersekutu dan negara itu dilaporkan akan meningkatkan pertahanan NATO di wilayah Laut Baltik yang berhadapan dengan Russia.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya