MOSCOW: Diplomat tertinggi Russia menegaskan langkah pertama ke arah penubuhan negara Palestin mestilah melibatkan usaha menyatukan semula perpaduan semua puak yang berpecah-belah.
Menteri Luar, Sergey Lavrov berkata, tanpa perpaduan tidak akan ada asas bagi negara Palestin.
Beliau berkata, kekurangan perpaduan akan digunakan sebagai alasan untuk mengekalkan Gaza yang dikawal Hamas dalam beberapa jenis status kawalan istimewa dan dipisahkan dari Tebing Barat yang diduduki, yang sebahagiannya dikawal oleh Pihak Berkuasa Palestin.
“Mereka sendiri perlu menentukan prinsip mana yang akan menjadi asas kepada pemulihan perpaduan rakyat mereka,” katanya.
Menurut Lavrov, negara-negara Arab dan 57 anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sangat tegas bahawa keputusan rasmi harus dibuat mengenai pembentukan negara Palestin dan rundingan harus dimulakan dan disertai oleh pengantara yang neutral dan berkesan.
Lavrov berkata. negara-negara serantau yang diketuai oleh Liga Arab harus mengambil inisiatif untuk mewujudkan mekanisme pengantaraan yang akan menyediakan secara ideal persidangan antarabangsa mengenai isu Palestin.
Mekanisme itu harus bergerak ke arah penyelesaian dua negara di mana Israel dan Palestin tinggal bersebelahan dalam keadaan aman.
Tetapi beliau berulang kali memberi amaran bahawa tanpa perpaduan di kalangan rakyat Palestin, tidak mungkin wujud negara Palestin yang berdaya maju.
Dalam perkembangan berkaitan, Qatar mengakui terkejut dan kecewa dengan komen Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengkritik usaha pengantaraan yang dilakukan negara Arab Teluk dengan kumpulan pejuang Hamas.
Ketika pertemuan dengan saudara-mara tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas di Gaza, Netanyahu mendakwa peranan Qatar sebagai orang tengah sangat ‘bermasalah’.
Menerusi rakaman pertemuan itu yang bocor, Netanyahu memberitahu keluarga bahawa beliau dengan sengaja tidak mengucapkan terima kasih kepada Qatar atas usaha pengantaraannya, mendakwa negara itu boleh memberi lebih tekanan kepada Hamas.
“Qatar pada pendapat saya tidak berbeza pada dasarnya daripada Pertubuhan Bngsa-Bagsa Bersatu (PBB). Ia tidak berbeza pada dasarnya daripada Pertubuhan Palang Merah dan dalam beberapa cara ia lebih bermasalah,” katanya.
Netanyahu juga berkata, beliau sudah menyatakan kemarahan kepada Amerika Syarikat (AS) kerana memperbaharui pangkalan tentera di negara Teluk itu.
Qatar membantu mendapatkan gencatan senjata selama seminggu pada November lalu yang membantu membebaskan lebih 100 tebusan.
Negara itu juga terlibat dalam usaha menjadi broker perjanjian baharu untuk membawa pulang kira-kira 130 tebusan yang masih dalam tahanan di Gaza.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata, kerajaannya kecewa dengan kenyataan yang dilaporkan oleh Netanyahu.
“Kenyataan ini jika disahkan, adalah tidak bertanggungjawab dan merosakkan usaha menyelamatkan nyawa yang tidak bersalah, tetapi tidaklah begitu mengejutkan.
“Sekiranya kenyataan yang dilaporkan itu didapati benar, Netanyahu hanya akan menghalang dan menjejaskan proses pengantaraan atas sebab yang kelihatan untuk membantu kerjaya politiknya dan bukannya mengutamakan usaha menyelamatkan nyawa yang tidak bersalah, termasuk tebusan Israel,” kata Majed.-AGENSI