BRUSSELS: Seorang pegawai tertinggi tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), menyeru badan awam dan swasta di Barat untuk bersedia menghadapi era di mana apa sahaja boleh berlaku tidak mengira masa, termasuk peperangan.
“Kami memerlukan transformasi perang NATO,” kata Ketua Jawatankuasa Ketenteraan perikatan itu, Laksamana Belanda Rob Bauer ketika membuka mesyuarat dua hari ketua pertahanan negara di Brussels.
Beliau berkata, pada masa lalu, kerajaan dan syarikat NATO hidup dalam era di mana segala sumber masih banyak, boleh dijangka, dikawal dan hanya perlu memberi tumpuan kepada kecekapan.
Namun, sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022, mereka harus menyesuaikan pemikiran di era baharu dan bersedia berdepan perkara tidak dijangka yang memerlukan setiap anggota memberi tumpuan kepada keberkesanan untuk hasil sepenuhnya.
Kenyataan itu dibuat berikutan isu bantuan ketenteraan ditahan atau dihadkan oleh perbalahan politik di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Dalam pada itu, Bauer berikrar untuk menyalurkan bantuan berterusan NATO kepada Ukraine.
“Ukraine akan mendapat sokongan kami untuk setiap hari yang akan datang, kerana hasil perang ini akan menentukan nasib dunia,” katanya.
Selasa lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memberi amaran tentang sikap teragak-agak Barat dalam menyokong Kyiv dan kebimbangan peningkatan ketegangan dengan Russia boleh memanjangkan pertempuran selama bertahun-tahun.
Minggu lalu, Canselor Jerman, Olaf Scholz menempelak sekutu EU berikutan sokongan yang tidak mencukupi untuk Kyiv dan menggesa mereka meningkatkan usaha membantu negara itu.
Beliau turut yakin blok itu akan bersetuju dengan cadangan pakej bantuan 50 bilion euro (RM256 bilion) untuk Kyiv pada sidang kemuncak kecemasan 1 Februari ini.
EU gagal bersetuju dengan perjanjian itu pada sidang kemuncak Disember lalu kerana tentangan dari Hungary.-REUTERS