WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) kini menawarkan peluang kepada orang ramai untuk mengukir nama mereka di bintang, sebagai sebahagian misi seterusnya ke bulan.
Lapor Sky News, kenderaan robotik NASA yang dikenali sebagai VIPER dijangka mendarat di bahagian kutub selatan bulan yang belum diterokai pada akhir tahun ini.
Dalam misi tersebut, VIPER akan membongkarkan misteri air, selain mengkaji persekitaran rantau bulan yang mana NASA merancang untuk menghantar angkasawan.
Bersama beberapa instrumen saintifik lain, kenderaan robotik itu juga akan membawa senarai nama individu, yang berpotensi berjuta-juta orang.
Malah, kesemua individu itu juga akan diberikan cenderahati pas masuk sekali gus menjadi sebahagian perjalanan berisiko itu.
“Dengan menggunakan VIPER, kami akan mengkaji dan meneroka beberapa bahagian permukaan bulan yang belum pernah dikunjungi siapapun sebelum ini.
“Bayangkan, nama anda akan berada bersama VIPER semasa merentasi bentuk muka bumi yang bergelombang dan kasar di kutub selatan bulan.
“Kenderaan robotik itu juga akan data penting yang akan membantu kami memahami sejarah bulan dengan lebih baik,” kata pentadbir bersekutu ibu pejabat NASA, Nicola Fox.
Dilaporkan, nama orang yang berminat perlu dihantar sebelum 15 Mac depan bagi membolehkan senarai dibuat.
Setakat ini, NASA tidak memaklumkan bagaimana kenderaan robotik itu akan membawa nama individu berkenaan.
Namun, misi serupa dengan bulan Musytari Europa menyaksikan senarai nama individu distensil dengan pancaran elektron pada cip silikon sebesar syiling lima pence.