WASHINGTON: Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) berjaya mengesan semula helikopter kecil yang berlepas ke Marikh selepas gangguan komunikasi menimbulkan kebimbangan alat itu musnah.
NASA melaporkan, Helikopter Marikh Ingenuity terputus hubungan semasa penerbangan ujian Khamis lalu.
Ingenuity berjaya melaksanakan penerbangan ke-72 di permukaan planet merah itu yang bertujuan memeriksa sistem helikopter selepas ia melakukan pendaratan tidak dijangka semasa misi sebelumnya.
“Data Ingenuity yang dihantar ke rover Perseverance, yang bertindak sebagai penyampai antara helikopter dan bumi semasa penerbangan menunjukkan ia berjaya mendaki ke ketinggian maksimum 12.19 meter yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, semasa penurunan, Ingenuity dan Perseverance hilang komunikasi antara satu sama lain, menyebabkan pasukan saintis gagal mengesan keadaan helikopter itu,” kata agensi itu.
Pegawai NASA berkata, pasukannya menganalisis data yang tersedia dan berjaya mewujudkan semula komunikasi dengan helikopter berkenaan awal pagi semalam.
“Berita baik untuk hari ini. Pasukan sedang menyemak data baharu untuk lebih memahami keciciran komunikasi yang tidak dijangka semasa Penerbangan ke-72,” kata Makmal Jet Pendorong NASA (JPL) di laman X.
Ingenuity tiba di Marikh pada 2021 dengan menaiki rover Perseverance dan menjadi kapal bermotor pertama yang terbang secara autonomi di planet lain.
Menurut UPI, dua alat itu bekerja seiring memburu bukti kehidupan lampau di planet Marikh dan asalnya dijangka melakukan hanya lima penerbangan di permukaan keras planet itu.-AGENSI