PARIS: Kesemua 379 penumpang dan kru penerbangan JAL516 berjaya menyelamatkan diri daripada kebakaran tercetus akibat pertembungan pesawat Japan Airlines dengan pesawat pengawal pantai Jepun di landasan Lapangan Terbang Haneda di Tokyo.
Nahas itu turut menyebabkan lima daripada enam anak kapal pesawat pengawal pantai terbunuh.
Rakaman video menunjukkan penumpang dipindahkan daripada pesawat Airbus A350 terbakar itu, melalui gelongsor kecemasan dalam keadaan yang agak tenang.
Malah, para penumpang itu juga dilihat melarikan diri tanpa membawa bagasi mereka dalam operasi yang disifatkan sebagai `keajaiban’.
Tindakan penumpang meninggalkan bagasi mereka secara tidak langsung membantu memudahkan lagi operasi evakuasi berkenaan.
Selama bertahun-tahun, agensi keselamatan penerbangan menasihatkan penumpang agar tidak membawa bersama bagasi mereka kerana ia boleh membahayakan nyawa ketika operasi evakuasi dilaksanakan.
Satu kajian keselamatan dijalankan oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2000 mendedahkan secara purata, operasi evakuasi membabitkan pesawat atas apa jua sebab berlaku setiap 11 hari.
Situasi demikian biasanya menjadi tajuk utama media apabila kebakaran terlibat.
Namun, ia juga membawa kepada penambahbaikan dalam mekanisme pintu pesawat dan lampu kecemasan.
Bagaimanapun, cabaran baharu muncul disebabkan jumlah bagasi penumpang dibenarkan untuk dibawa ke dalam pesawat.
Penyiasat nahas pesawat mengesyorkan taklimat penerbangan lebih tegas diberikan kepada para penumpang untuk menggesa mereka meninggalkan bagasi ketika proses evakuasi. – REUTERS