TOKYO: Seorang model kelahiran Ukraine mencetus perdebatan identiti selepas dinobat sebagai Miss Japan 2024 dalam acara ratu cantik di Tokyo Selasa lalu.
Carolina Shiino dilahirkan di Ternopil, Ukraine dengan kedua ibu bapanya berasal dari negara itu namun berpindah ke Jepun pada usia lima tahun dan dibesarkan di Nagoya.
Shiino menjadi warganegara naturalisasi Jepun pertama yang memenangi pertandingan itu, tetapi kemenangannya mencetuskan perdebatan tentang identiti dan makna menjadi orang Jepun.
“Terdapat halangan perkauman, dan ia sangat mencabar untuk diterima sebagai orang Jepun, ” katanya dalam bahasa Jepun selepas diumum sebagai pemenang pertandingan itu.
Walaupun ada yang mengiktiraf kemenangannya sebagai tanda peralihan zaman ramai penduduk menyuarakan kemarahan kerana berpendapat Shiino tidak mewakili rupa paras sebenar ratu cantik Jepun.
Terdapat juga warga net yang mendakwa keputusan memilih model kelahiran Ukraine itu bermotifkan politik.
Kemenangannya datang hampir 10 tahun selepas Ariana Miyamoto menjadi wanita dwi-kaum pertama yang dinobatkan sebagai Ratu Jepun pada 2015.
Walaupun ibunya merupakan rakyat Jepun dengan bapa berketurunan Afrika Amerika, kemenangan Miyamoto menimbulkan persoalan sama ada seseorang daripada kaum campuran layak untuk memenangi pertandingan itu.