LAS VEGAS: Mercedes-Benz melancarkan pembantu maya baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu memberikan cadangan berasaskan konteks dan terlibat dalam dialog dengan pemandu.
Menurut syarikat tersebut, pembantu maya itu mampu bercakap dalam nada berbeza mengikut pelbagai emosi dan bertanya soalan pintar untuk menjelaskan apa sebenarnya yang ditanya.
“Kereta itu adalah rakan dialog anda. Anda boleh bertanya soalan, berbual dan menjadi produktif,” kata Ketua Pegawai Teknologi Mercedes, Markus Schaefer ketika sidang media di pameran perdagangan elektronik CES di Las Vegas.
Jelasnya, pembantu maya itu akan dilancarkan dalam beberapa kenderaan termasuk kelas CLA konsep baharu yang mempunyai model empat pintu lebih kecil.
Mercedes-Benz berkata, ciri tambahan pembantu suara baharunya ialah pemeriksaan kebolehpercayaan untuk setiap respons yang diberikannya melalui semakan data dalam awan.
“Kami merasakan bahawa kami mempunyai kewajipan jika kami meletakkan sesuatu di dalam kereta dan anda boleh mempercayai maklumat itu,” kata Schaefer.
Dengan teknologi alat ganti kenderaan elektrik yang kurang kompleks dan semakin maju berbanding kereta enjin pembakaran, syarikat pengeluar kini berlumba-lumba menawarkan pengalaman unik kepada pengguna dengan tawaran perisian mereka.
Teknologi pembantu suara dalam kereta menjadi semakin canggih, daripada penggunaan avatar diperibadikan kepada teknologi AI generatif.
Pada pameran CES kelmarin, Volkswagen turut melancar kenderaan pertamanya yang menampilkan pembantu maya dengan teknologi ChatGPT.
Teknologi itu membolehkan pemandu meneliti kandungan bahan kajian yang dibacakan terus kepada mereka semasa pemanduan.-REUTERS