NEW YORK: Kewujudan lopak di kawasan jalan di Michigan, Amerika Syarikat (AS) tular di media sosial selepas penduduk secara sinis meletakkan kerusi malas di dalam lubang besar tersebut bersama beberapa perabot menjadikannya seakan ruang tamu rumah.
Lubang besar di jalan North Beacon di Grand Haven yang sudah lama tidak dibaiki mula mendapat perhatian ramai selepas penduduk berkongsi gambar sebuah kerusi malas kulit sengaja ‘dihiaskan’ di kawasan itu.
Kerusi itu tidak lama kemudian digantikan dengan sebuah sofa berwarna biru dan penduduk tempatan turut menambah pembesar suara, papan kayu dan pokok krismas di lokasi itu.
Pengunjung yang bergambar di kawasan lopak jalan berkenaan mengakui, mereka sanggup datang berpuluh kilometer dari bandar lain untuk melihat lokasi tular itu.
Seorang penduduk, Cory Denny yang pertama memuat naik foto hiasan melucukan itu berkata, dia amat berharap jalan tersebut mendapat perhatian pihak berwajib dan diturap segera.
“Ia adalah jenaka yang lucu, dan ia sangat mengejutkan melihat semua orang berkumpul sambil bergambar di atasnya, tetapi yang pasti mesej yang ingin disampaikan ialah lubang itu perlu dibaiki,” katanya kepada WXMI TV.
Pengarah Jabatan Kerja Raya Grand Haven, Derek Gajdos sebelum ini mendakwa lubang itu terletak di jalan persendirian dan proses penyelenggaraan kawasan itu bukan di bawah tanggungjawab pihaknya.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Bandaraya, Ryan Cummins dalam catatan di Facebook memaklumkan sedang berhubung dengan pemilik hartanah mengenai usaha menurap lubang itu.