Letupan di kubur komander Qassem, Iran ikrar balas dendam

Letupan di kubur komander Qassem, Iran ikrar balas dendam

ANGGOTA penyelamat mengumpulkan mayat mangsa yang terbunuh dalam insiden letupan di bandar Kerman, Iran.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Iran berjanji untuk membalas dendam berikutan insiden letupan bom berganda yang mengorbankan lebih 103 orang di selatan negara itu kelmarin.

Berpuluh-puluh orang turut dilaporkan cedera dalam dua insiden letupan yang berlaku ketika majlis memperingati komander Qassem Soleimani yang terbunuh oleh dron AS pada 2020.

Televisyen negara Iran melaporkan, letupan pertama diikuti yang kedua selepas 20 minit berlaku ketika suasana sesak semasa acara ulang tahun keempat di tanah perkuburan tempat Qassem dikebumikan di bandar tenggara Kerman.

Tiada yang mengaku bertanggungjawab atas letupan itu namun pegawai kanan pentadbiran Biden berkata, letupan itu kelihatan seperti serangan pengganas yang pernah dilakukan oleh militan IS sebelum ini.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi mengutuk tindakan jenayah keji dan tidak berperikemanusiaan itu sementara pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berikrar membalas dendam atas pengeboman berdarah tersebut.

“Penjenayah yang kejam. Mesti semua tahu bahawa mereka akan ditangani dengan tegas mulai sekarang dan tidak syak lagi akan ada tindak balas yang keras,” kata Ayatollah dalam satu kenyataan.

Beberapa negara, termasuk Russia dan Turkiye, mengutuk serangan itu manakala Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa mereka yang bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan.

Menteri Kesihatan, Bahram Eynollahi memaklumkan jumlah kematian seramai 95 orang sementara 211 yang lain cedera, menjadikan letupan berkenaan serangan paling maut dalam sejarah negara itu.

Pegawai memberitahu agensi berita IRNA, dua bahan letupan yang ditanam di sepanjang jalan menuju ke Tanah Perkuburan Syahid Kerman diletupkan dari jauh oleh pengganas.

Video yang disiarkan oleh media negara Iran menunjukkan berpuluh-puluh mayat berlumuran darah bergelimpangan dengan beberapa orang cuba membantu mangsa yang terselamat dan berusaha keluar dari kawasan itu.

“Bunyi yang dahsyat kedengaran di sana, biarpun semua langkah keselamatan sudah diambil. Perkara itu masih dalam siasatan,” kata Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Kerman, Reza Fallah.

Walaupun pihak berkuasa tidak membuat tuduhan secara terbuka, komander tertinggi pasukan Quds Iran, Esmail Qaani berkata, serangan itu dilakukan oleh ejen rejim Zionis dan AS.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya