NEW DELHI: Seorang lelaki di India ditahan selepas didapati menyamar sebagai wanita untuk menduduki peperiksaan di sebuah universiti bagi menggantikan teman wanitanya.
Kakitangan Universiti Sains Kesihatan Baba Farid di Punjab baru-baru ini menangkap seorang pemuda cuba menyamar dan menggunakan dokumen palsu untuk menduduki peperiksaan petugas kesihatan bagi pihak seorang wanita yang dipercayai merupakan kekasihnya.
Lapor Oddity Central, kejadian itu berlaku di pusat peperiksaan di Kotkapura pada 7 Januari lalu.
Ketika kejadian, lelaki dikenali sebagai Angrez Singh, 26, tiba di pusat peperiksaan itu dengan mengenakan pakaian wanita, berlipstik, memakai bindi dan gelang merah serta membawa dokumen atas nama wanita bernama Paramjeet Kaur, 34.
Meskipun penyamaran Angrez berjaya memperdayakan kakitangan universiti, namun dia gagal menipu pengimbas biometrik apabila datanya tidak sepadan dengan maklumat terdapat dalam pangkalan data.
“Calon itu berjaya memasuki dewan peperiksaan, namun pengawas peperiksaan berasa curiga kerana gambar Paramjeet pada borang permohonan tidak padan dengan wajah calon terbabit.
“Selepas itu, pemeriksaan biometrik dilakukan dan data dikemukakan calon tidak sepadan dengan maklumat yang ada dalam rekod.
“Kami mendapati pemuda bernama Angrez Singh cuba menyamar sebagai Paramjeet. Malah, dia juga memiliki kad Aadhaar, kad pengundi dan kad pengenalan diri yang palsu atas nama Paramjeet Kaur,” kata polis kepada Indian Express.
Pada mulanya, kakitangan universiti membenarkan Angrez pulang namun aduan kemudian difailkan terhadap lelaki itu dan dia kini sedang disiasat atas pelbagai kesalahan.
Paramjeet juga didakwa bersubahat dengan Angrez kerana tanpa persetujuannya lelaki itu tidak mungkin dapat menggantikan tempatnya dalam peperiksaan tersebut.
Dilaporkan, Paramjeet sebelum ini pernah menduduki peperiksaan yang sama namun gagal.
Jadi, Angrez menawarkan diri untuk menggantikan tempatnya, dengan harapan kali ini dapat lulus peperiksaan.
Beberapa gambar memaparkan Angrez menyamar sebagai wanita dengan memakai gincu, alat solek dan berpakaian wanita tular dalam media sosial dan menjadi bahan jenaka dalam kalangan warganet.