FRANKFURT: Seorang lelaki Jerman berjaya mencatat rekod baru bagi masa terpantas meminum secawan kopi.
Felix von Meibom berjaya menobatkan dirinya dalam Rekod Dunia Guinness apabila berjaya meneguk secawan kopi panas dalam masa 3.12 saat.
Awal minggu ini, organisasi berkenaan secara rasmi mengumumkan von Meibom berjaya memegang rekod tersebut menerusi percubaan yang dilakukan di Frankfort pada 5 September tahun lalu.
Laman Instagram rasmi Rekod Dunia Guinness turut berkongsi video yang merakam aksi von Meibom memecahkan rekod tersebut.
Video dimulakan dengan visual kopi pekat sebanyak 200 mililiter yang masih panas dituangkan ke dalam cawan besar.
Ketika jam saat berjalan pada telefon yang diletakkan di atas meja, von Meibom segera menghabiskan kopi tersebut dalam hanya satu teguk.
Masa yang dicatatkan itu mengatasi 0.05 saat dari rekod sebelumnya, yang dicatat oleh pemecah rekod bersiri dari Jerman, Andre Ortolf pada 2021.
Ramai penggemar kopi memberi reaksi di ruang komen video, secara berseloroh mahu mencabar rekod tersebut.-AGENSI