GAZA CITY: Lebih 60 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan tentera Israel di seluruh Gaza semalaman.
Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan.
Menurut kementerian, puluhan orang cedera dalam pengeboman artileri dan serangan berterusan di seluruh Semenanjung Gaza.
Pejabat media memaklumkan serangan itu berlaku di bandar selatan Khan Yunis dan Rafah serta sekitar bandar Gaza.
Jelasnya, dua hospital, sebuah sekolah dan puluhan rumah penduduk menjadi antara sasaran tentera Israel.
Hospital dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Sebahagian besar hospital di Gaza menjadi sasaran serangan Zionis sejak perang meletus.
Tentera Israel mendakwa Hamas mempunyai terowong di bawah premis hospital dan menggunakan kemudahan perubatan itu sebagai pusat arahan untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap rejim itu.
Bagaimanapun, kumpulan pejuang itu menafikan dakwaan tersebut.
Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan mengejut kumpulan pejuang ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Sejak itu, rejim Zionis melancarkan kempen ketenteraan tanpa henti di Gaza.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 23,968 penduduk Palestin, kebanyakannya merupakan wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan Israel. – AFP