PYONGYANG: Sebuah monumen utama yang didedikasikan untuk keamanan dan kemungkinan penyatuan semula antara Korea Utara dan Korea Selatan dilaporkan sudah dirobohkan di bawah arahan Pemimpinnya, Kim Jong Un.
Minggu lalu, Jong Un menyifatkan Korea Selatan sebagai musuh utama dan menegaskan penyatuan tidak mungkin berlaku.
Beliau yang berikrar melancarkan satelit pengintip baharu, membina dron ketenteraan dan meningkatkan senjata nuklearnya berkata, dasar Amerika Syarikat (AS) turut menjadikan peperangan antara kedua-dua negara itu tidak dapat dielakkan.
Menurut laporan NK News, imej satelit Pyongyang pada Selasa lalu menunjukkan Pintu Gerbang Penyatuan Semula tidak lagi wujud.
Pintu gerbang itu dibina bagi melambangkan harapan untuk penyatuan semula Korea selepas sidang kemuncak pada tahun 2000.
Menurut rekod kerajaan Korea Selatan, binaan yang secara rasmi dikenali sebagai Monumen Tiga Piagam untuk Penyatuan Semula Kebangsaan, berdiri setinggi 30 meter dan merupakan simbolik kepada inisiatif berdikari, keamanan dan kerjasama nasional.
Jong Un bagaimanapun menggelar monumen itu sebagai binaan yang ‘menyakitkan mata’ dalam ucapan di Perhimpunan Rakyat Tertinggi minggu lalu dan mengarahkan perlembagaan dipinda untuk menggambarkan Korea Selatan sebagai ‘musuh utama yang tidak akan berubah’.
Tentera Korea Selatan berkata, berita mengenai perobohan itu dilaporkan berlaku ketika Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu jelajah ke arah laut di luar pantai baratnya.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Shin Won-sik, mengutuk pelancaran itu sebagai ancaman serius kepada negaranya.