Korea Utara ancam serang Seoul jika terima provokasi

Korea Utara ancam serang Seoul jika terima provokasi

PELANCARAN ujian peluru berpandu balistik antara benua Hwasongpho-18 di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Korea Utara mengancam melaksanakan serangan ketenteraan serta-merta terhadap Korea Selatan sebagai tindak balas kepada sebarang provokasi yang ditujukan untuk negaranya.

Kim Yo-jong, kakak dan sekutu utama pemimpin Kim Jong-un, mengeluarkan ancaman itu kelmarin ketika Pyongyang melepaskan tembakan meriam berhampiran sempadannya untuk hari ketiga berturut-turut.

Kenyataan itu susulan laporan tentera Korea Selatan yang mengatakan Korea Utara melepaskan lebih 60 das tembakan artileri pada Sabtu lalu berhampiran sempadan maritim mereka yang dipertikaikan.

Menurut agensi berita Korea Selatan Yonhap, lebih 200 tembakan dilaporkan pada Jumaat dan 90 das lagi tembakan dilepaskan kelmarin.

“Tentera Korea Utara menjalankan latihan di utara pulau barisan hadapan Korea Selatan Yeonpyeong sejak kira-kira 4 petang (waktu tempatan) tiga hari lalu,” lapor Yonhap memetik sumber tentera.

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan agensi berita KCNA,  Yo-jong yang juga antara anggota paling berkuasa dalam kerajaan Jong-un berkata, Tentera Rakyat Korea (KPA) akan segera bertindak terhadap ancaman yang menggugat keselamatan negara itu.

“Seperti yang sudah diisytiharkan, KPA akan melancarkan serangan tentera serta-merta jika musuh membuat walau sedikit provokasi,” katanya.

Walaupun Korea Selatan mengadakan latihan tembakan di laut pada hari Jumaat sebagai tindak balas kepada peluru artileri Pyongyang, Yonhap melaporkan tiada rancangan untuk melakukan aktiviti serupa selepas peristiwa Sabtu lalu.

Latihan di kedua-dua belah sempadan pada hari Jumaat mencetuskan amaran kepada penduduk di pulau Korea Selatan untuk segera mencari perlindungan, walaupun tiada laporan peluru melintasi sempadan maritim.

Dalam kenyataannya kelmarin, Yo-jong menafikan tembakan peluru artileri pada Sabtu dan berkata, Korea Utara hanya menggunakan bahan letupan sebagai taktik penipuan.

Tentera Korea Selatan menolak kenyataan tersebut sebagai perang psikologi peringkat rendah, menggesa Korea Utara menghentikan aktiviti ketenteraan yang menimbulkan ketegangan berhampiran sempadan.

Hubungan antara dua negara itu semakin tegang selepas Jong-un memaktubkan status negaranya sebagai kuasa nuklear ke dalam perlembagaan dan kerap menguji beberapa peluru berpandu balistik antara benua termaju tahun lalu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya