SEOUL: Korea Selatan mengarahkan orang awam di Pulau Yeonpyeong supaya berpindah selepas Korea Utara melepaskan kira-kira 200 tembakan peluru artileri di luar pantai barat negara itu.
Seorang pegawai di pulau Yeonpyeong yang terletak di selatan sempadan laut Garis Had Utara (NLL) yang dipertikaikan berkata, arahan pemindahan itu dibuat atas permintaan tentera Korea Selatan.
Tentera Korea Selatan dalam taklimat media berkata, tembakan artileri oleh Korea Utara dilaporkan tidak menyebabkan korban orang awam atau kerosakan pada peralatan tentera di Korea Selatan.
Namun tindakan itu mampu meningkatkan ketegangan dan mengancam keselamatan di sekitar Semenanjung Korea.
Kementerian pertahanan bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada arahan pemindahan itu didorong oleh tembakan artileri Korea Utara atau latihan Korea Selatan sebagai tindak balas terhadap tindakan itu.
“Tembakan meriam Korea Utara semuanya mendarat di sebelah utara sempadan maritim yang dipertikaikan. Tentera Korea Selatan sedang memantau pergerakan Korea Utara di sepanjang pantainya dengan kerjasama tentera Amerika Syarikat (AS),” kata jurucakap tentera, Lee Sung-joon.
Mesej teks yang dihantar kepada penduduk dan disahkan oleh seorang pegawai pulau memaklumkan, tembakan tentera laut akan dilakukan oleh tentera Korea Selatan mulai pukul 3 petang (waktu tempatan) semalam.
“Tentera Korea Selatan memberitahu penduduk pulau, akan berlaku tembakan di laut oleh tentera Korea Selatan selepas satu insiden berhampiran sempadan. Tetapi tidak jelas sama ada ia adalah satu latihan atau mempunyai sebab lain,” kata pegawai Pulau Yeonpyeong.
Menurut seorang pegawai, penduduk pulau Baengnyeong yang terletak jauh di barat Yeonpyeong dan berhampiran sempadan laut turut diarahkan untuk berpindah.
Pada tahun 2010, meriam Korea Utara melepaskan beberapa das tembakan ke pulau Yeonpyeong, membunuh empat orang termasuk dua orang awam dalam insiden serangan paling buruk ke atas jirannya sejak Perang Korea berakhir pada 1953.
Korea Utara ketika itu mendakwa serangan dilakukan akibat provokasi latihan tembakan Korea Selatan yang menjatuhkan peluru ke perairan wilayahnya.
Hubungan antara kedua-dua negara semakin tegang sejak beberapa tahun lalu selepas Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menamakan negara itu sebagai kuasa nuklear ke dalam perlembagaan sambil menguji beberapa peluru berpandu balistik antara benua termaju di kawasan perairan berhampiran.-REUTERS