BAITULMUQADDIS: Seorang menteri Kabinet Israel menuduh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu enggan memberitahu perkara sebenar mengenai matlamat ketenteraan rejim Zionis itu di Gaza.
Sebelum ini, Netanyahu secara terbuka menolak desakan Amerika Syarikat (AS) untuk penubuhan negara Palestin dan menegaskan serangan akan diteruskan `sehingga mencapai kemenangan sepenuhnya’.
Namun, Gadi Eisenkot mendakwa pihak yang menyokong `kemusnahan kumpulan Hamas’ sebenarnya tidak bercakap benar.
Lapor BBC, bekas ketua tentera itu juga menegaskan Netanyahu turut bertanggungjawab atas kegagalan melindungi Israel semasa serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.
Justeru, Eisenkot menggesa untuk mengadakan pilihan raya baharu, dengan menegaskan `tiada kepercayaan’ dalam kepemimpinan semasa Israel.
Gesaan semakin meningkat untuk mengadakan pilihan raya di Israel di tengah-tengah kritikan terhadap Netanyahu berhubung kegagalannya mengaku bertanggungjawab ke atas serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.
Tinjauan pendapat yang dijalankan oleh media Israel baru-baru ini menunjukkan sekiranya pilihan raya awal diadakan, Netanyahu mungkin tidak akan dapat membentuk kerajaan.
Bekas Menteri Pertahanan dan anggota Kabinet perang, Benny Gantz dijangka menjadi calon yang boleh menggantikan Netanyahu.
Terdahulu, Reuters melaporkan Presiden AS, Joe Biden menyatakan penubuhan negara Palestin bukan sesuatu yang mustahil ketika pentadbiran Netanyahu masih mentadbir.
Katanya, Netanyahu juga tidak menentang penyelesaian dua negara dan terdapat beberapa kaedah pelaksanaan yang mungkin sesuai.
Biden dan Netanyahu berbincang cadangan penyelesaian itu dalam perbualan telefon kelmarin, yang pertama selepas hampir sebulan.
Sementara itu, Netanyahu didakwa memanjangkan konflik di Gaza sebagai strategi untuk mengelak berdepan persoalan mengenainya dan menghalang kejatuhan pakatan pemerintahannya.
“Perang ini tiada tujuan mahupun masa depan, namun memanjangkannya adalah cara (Netanyahu) menangguhkan jawapan kepada persoalan tanggungjawab,” jelas laporan akhbar Haaretz yang memetik kenyataan pegawai Israel.
Berdasarkan laporan Agensi Anadolu, pegawai enggan mendedahkan namanya mendakwa Netanyahu sedar matlamat perang tidak akan tercapai dan ia sekadar untuk menangguhkan masa.