WASHINGTON: Peluang Presiden Amerika Syarikat (AS) meneruskan kepimpinannya untuk satu penggal lagi dalam pilihan raya tahun depan dilihat semakin goyah berikutan kegagalan pentadbirannya menghentikan keganasan yang semakin meningkat di Gaza.
MAKIN HILANG SOKONGAN
Seorang pegawai kanan di Jabatan Pendidikan AS meletak jawatan kelmarin selepas mendakwa pentadbiran Biden gagal mengendalikan konflik di Gaza, sekali gus menjadi petanda baharu perbezaan pendapat yang semakin meningkat antara pegawainya.
Pembantu khas di Pejabat Perancangan, Penilaian dan Pembangunan Dasar Jabatan Pendidikan, Tariq Habash dalam surat kepada Setiausaha Pendidikan, Miguel Cardona mengecam tindakan AS terhadap penduduk Palestin yang disifatkan terlalu berat sebelah.
“Saya tidak boleh berdiam diri kerana pentadbiran ini menutup mata terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah, dalam apa yang dikatakan oleh pakar hak asasi manusia terkemuka sebagai kempen genosid oleh kerajaan Israel,” katanya.
Pada hari sama, seramai 17 kakitangan kempen pemilihan semula Biden turut mengeluarkan amaran dalam surat tanpa nama bahawa beliau mungkin akan kehilangan pengundi berikutan isu itu.
Dalam surat berkenaan yang diterbitkan di akhbar Medium, kakitangan berkenaan menggesa Biden untuk menyeru gencatan senjata di Gaza.
“Kakitangan Biden untuk kempen Presiden melihat sukarelawan berhenti dalam skala besar dan mereka yang mengundi Demokrat selama beberapa dekad mula berasa tidak pasti untuk melakukannya sekali lagi kerana konflik ini,” tulis kakitangan dalam surat itu.
Jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller sebelum ini berkata AS tidak melihat tindakan di Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai.
KORBAN MENINGKAT
Kenyataannya itu sebagai tindak balas kepada prosiding yang dilancarkan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Israel turut menafikan dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza walaupun jelas angka korban di wilayah itu semakin meningkat setiap hari akibat bedilan tanpa henti rejim Zionis.
Bekas pegawai Jabatan Negara, Josh Paul turut meletak jawatan daripada pentadbiran Biden pada Oktober lalu sebagai protes terhadap sokongan membuta tuli AS terhadap Israel.
Pada bulan November, lebih 1,000 pegawai di Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID), yang merupakan sebahagian daripada Jabatan Negara, menandatangani surat terbuka meminta pentadbiran Biden menggesa gencatan senjata segera di Gaza.
Pada bulan Disember, beberapa kakitangan dalam pentadbiran Biden mengadakan protes berhampiran White House untuk menuntut gencatan senjata di Gaza.
Jumlah kematian rakyat Palestin yang direkodkan akibat serangan balas Israel kini mencecah 22,313 orang, hampir satu peratus daripada 2.3 juta penduduk Gaza.
Pengeboman Israel meranapkan sebahagian besar kawasan yang berpenduduk padat, menyebabkan 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan kekurangan makanan hingga diancam kebuluran.
AS secara terbuka menyelar retorik beberapa menteri Israel untuk cuba mengarahkan penghijrahan penduduk Gaza dan mendorong rejim Zionis mengekang kematian orang awam di Gaza.
Namun pengkritik berpendapat Washington tidak menggunakan kuasanya sebagai pembekal utama senjata dan bantuan untuk mempengaruhi dasar kejam Israel menindas penduduk Gaza.-REUTERS