DUBAI: Komander dari Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan kumpulan Hezbollah Lubnan berada di Yaman membantu mengarahkan dan mengawasi serangan Houthi ke atas perkapalan Laut Merah, lapor empat sumber serantau dan dua sumber Iran.
Menurut sumber berkenaan, Iran yang mempunyai bekalan senjata, melatih dan membiayai Houthi serta meningkatkan bekalan senjatanya kepada kumpulan tersebut susulan perang di Gaza.
Jelasnya lagi, Tehran menyediakan dron canggih, peluru berpandu jelajah anti-kapal, peluru berpandu balistik pukulan tepat dan peluru berpandu jarak sederhana kepada kumpulan pemberontak Houthi yang mula menyasarkan kapal komersial pada November lalu sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.
Komander dan penasihat IRGC juga menyediakan pengetahuan, data dan sokongan perisikan untuk menentukan mana antara berpuluh-puluh kapal yang melalui Laut Merah setiap hari menuju Israel dan menjadi sasaran Houthi.
“Pengawal Revolusi membantu Houthi dengan latihan ketenteraan mengenai senjata canggih. Sekumpulan pejuang Houthi berada di Iran bulan lalu dan dilatih di pangkalan IRGC di tengah Iran untuk membiasakan diri dengan teknologi baharu dan penggunaan peluru berpandu,” jelas sumber itu kepada Reuters.
Sumber berkata, komander Iran berada di Yaman dan menubuhkan pusat arahan di ibu negara Sanaa untuk serangan Laut Merah yang dikendalikan oleh komander kanan IRGC.
Mereka berkata, Tehran mahu menunjukkan bahawa perang Gaza boleh menjadi terlalu mahal untuk Barat jika ia berlarutan dan boleh membawa akibat bencana di rantau itu apabila keadaan semakin tegang.
Bulan lalu, Washington berkata, Iran terlibat secara mendalam dalam merancang operasi terhadap perkapalan di Laut Merah dan perisikannya adalah penting untuk membolehkan Houthi menyasarkan kapal-kapal tersebut.
Dalam sidang akhbar mingguannya, jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani berulang kali menafikan Tehran terlibat dalam serangan Laut Merah oleh Houthi sementara pejabat perhubungan awam IRGC enggan memberi sebarang komen berhubung isu itu.
Jurucakap Houthi, Mohammed Abdulsalam menafikan sebarang penglibatan Iran atau Hezbollah dalam membantu mengarahkan serangan Laut Merah.
Houthi berkata, mereka menyokong Hamas dengan menyerang kapal-kapal komersial yang mempunyai kaitan dengan Israel atau sedang menuju ke pelabuhan rejim Zionis itu.
Serangan kumpulan berkenaan menjejaskan perkapalan global antara Asia dan Eropah melalui selat Bab al-Mandab di luar Yaman.
Keadaan itu mencetuskan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke atas sasaran Houthi di negara itu, membuka lembaran konflik baharu yang dikaitkan dengan perang di Gaza.-REUTERS