SEOUL: Ketua pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung berada dalam keadaan stabil dan sedang berada di bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di negara itu.
Jae-myung dari Parti Demokrat diserang oleh seorang lelaki tidak dikenali semasa sidang akhbar dalam lawatan kerja ke bandar Busan.
Jurucakap parti, Kwon Chil-seung berkata, pemimpin itu ditikam di leher oleh individu terbabit yang menyerbu khalayak ramai dengan berpura-pura menjadi penyokongnya.
Katanya, Jae-myung pada mulanya dikejarkan ke sebuah hospital di Busan dan kemudian diterbangkan ke pusat perubatan di ibu kota Seoul yang mana beliau menjalani pembedahan selama dua jam.
“Pemimpin itu mengalami kecederaan pada urat jugular dalaman (pembuluh darah).
“Jae-myung sedar selepas pembedahan itu dan kini ditempatkan di ICU. Keadaan beliau semakin pulih,” katanya.
Sementara itu, polis mengesahkan penyerang yang berusia dalam lingkungan 60-an sudah ditangkap di tempat kejadian.
“Lelaki itu menyerang Jae-myung menggunakan pisau sepanjang 18 meter yang dibeli dalam talian,” jelas polis.
Dalam satu rakaman video disiarkan di televisyen Korea Selatan, pasukan polis dilihat bergelut dengan suspek selepas menyerang Jae-myung. – AFP