WASHINGTON: Pasukan peguam bela dalam perbicaraan mewakili dua rakyat Malaysia yang ditahan di kem tahanan Teluk Guantanamo, Cuba berhubung kes pengeboman Bali pada 2002, menyuarakan kekecewaan dengan kelewatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan visa bagi dua saksi dari Malaysia.
Memetik portal FMT, berdasarkan laporan kes dilihat FMT, dua saksi berkenaan merupakan saudara kepada Mohammed Farik Amin.
Selasa lalu, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam pengeboman Bali pada Oktober 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.
Saksi berkenaan bakal memberi keterangan bagi dua tertuduh itu sebelum mereka dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tentera Amerika Syarikat di Teluk Guantanamo.
Peguam mewakili Mohammed Farik iaitu Christine Funk memaklumkan pasukannya kecewa kerana visa masih belum dikeluarkan walaupun dokumen diperlukan sudah diserahkan pada awal Disember tahun lalu.
“Emel diterima dari Kedutaan AS di Kuala Lumpur menunjukkan mereka menganggap saksi perlu berada di sini pada 25 Januari ini, itu adalah tidak benar,” katanya kepada Hakim Wesley A Braun.
Menurut hakim, keterangan kedua-dua saksi itu merupakan sebahagian daripada perjanjian prabicara antara kerajaan AS dan tertuduh semasa menjatuhkan hukuman dan mitigasi.
Christine memaklumkan jadual penerbangan ke Guantanamo adalah amat terhad dan saksi berkenaan mungkin perlu menaiki pesawat selewat-lewatnya 23 Januari ini untuk sampai di sana.
Jelasnya, saksi tersebut sudah bertemu dengan pegawai Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengenai visa mereka pada 12 Januari lalu.
Dalam pada itu, pendakwa raya George Kraehe memberitahu mahkamah bahawa beberapa persiapan sedang dilakukan sebagai tindakan alternatif sekiranya saksi tidak mendapat visa mereka tepat pada masanya.
Terdahulu, mahkamah mendedahkan Mohammed Nazir dan Mohammed Farik menandatangani perjanjian pra-perbicaraan yang mengandungi klausa menyatakan mereka akan berdepan hukuman penjara 20 hingga 25 tahun.
Klausa itu turut menyatakan hukuman penjara kedua-dua individu berkenaan boleh bermula dari hari mereka mengaku bersalah.
Mohammed Nazir dan Mohammed Farik mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam pengeboman Bali pada Oktober 2002 selepas 20 tahun dikurung tanpa perbicaraan di Teluk Guantanamo, Cuba.
Mereka bersama Hambali diletakkan dalam kurungan bersendirian sejak ditahan di Thailand pada 2003.
Mereka pertama kali didakwa pada 2018 dengan sembilan kesalahan dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa dan pengeboman Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 11 kematian.
Rayuan mereka bagaimanapun tidak menyebut sebarang kaitan dengan pengeboman di Jakarta pada 2003.
Sebagai sebahagian perjanjian pengakuan itu, tuduhan keganasan, serangan ke atas orang awam dan struktur awam serta cubaan membunuh digugurkan pihak pendakwaan.