LAS VEGAS: Kereta terbang yang dihasilkan oleh syarikat pembuat kereta terbang elektrik China, Xpeng AeroHT paling mencuri tumpuan ramai di Pameran Elektronik Pengguna (CES) di sini baru-baru ini.
Lapor UPI News, syarikat China itu secara `senyap-senyap’ menyediakan kenderaan baharu untuk dipamerkan di CES ketika melakukan ujian keselamatan dan peraturan pada tahun ini.
Kelmarin, syarikat pembuat kereta terbang elektrik terbesar di Asia itu menarik perhatian orang ramai dengan menunjukkan demo peralihan kenderaan terbabit antara mod di darat dan penerbangan, yang dilihat pertama seumpamanya di luar China.
Ketika berada di mod darat, kereta terbang eVTOL itu melipat komponen `penerbangan’ ke dalam, sekali gus memberikan penampilan lebih anggun.
“Namun, selepas melakukan beberapa pelarasan, kenderaan itu boleh membuka balik `sayapnya’ dan berlepas secara menegak,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.
Pada tahun 2022, syarikat Xpeng AeroHT berjaya melaksanakan ujian penerbangan prototaip kereta terbang seberat kira-kira dua tan.
Orang ramai yang hadir pada acara CES juga berpeluang melihat kenderaan pengangkut pesawat darat keluaran syarikat berkenaan yang membuat penampilan sulung pada akhir tahun lalu.
Sementara itu, pengeluar dan pembekal kenderaan di seluruh dunia, Continental Automotive Group memperkenalkan beberapa teknologi baharu termasuk kerjasama dengan Swarovski Mobility.