Kempen Pemilu 2024: Calon presiden Indonesia sertai debat ketiga

Kempen Pemilu 2024: Calon presiden Indonesia sertai debat ketiga

CALON presiden Indonesia, Prabowo Subianto (kiri), Ganjar Pranowo (tengah) dan Anies Baswedan (kanan) menyertai debat kempen Pemilu 2024. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Calon presiden Indonesia menyertai debat ketiga kempen menjelang Pilihan Raya Umum (Pemilu) yang akan berlangsung pada 14 Februari depan.

Dalam debat diadakan kelmarin, ketiga-tiga calon presiden itu mengutarakan pandangan mereka mengenai pelbagai isu semasa membabitkan pertahanan, geopolitik dan diplomasi.

Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan akan bersaing merebut jawatan Presiden Indonesia dalam pilihan raya bulan depan.  

Kira-kira 205 juta pengundi yang layak dijangka keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih untuk menentukan pengganti Presiden Joko Widodo (Jokowi) selepas selesai berkhidmat selama dua penggal.

Pada sesi debat itu, Prabowo menegaskan sekiranya dipilih, beliau akan berusaha mengekalkan hubungan positif dengan semua kuasa global selaras dengan dasar luar Indonesia yang `tidak bersekutu’.

“Kita boleh menjamin kepentingan negara dengan mempunyai hubungan baik dengan semua kuasa global.

“Indonesia akan melaksanakan dasar jiran yang baik,” katanya dalam perdebatan yang disiarkan secara langsung di televisyen Indonesia.

Bekas jeneral pasukan khas itu turut menekankan kepentingan memperkukuhkan angkatan tentera untuk mempertahankan negara.

Kenyataan itu dibuat ketika Prabowo melahirkan kebimbangan mengenai situasi serupa dengan keadaan mencabar dihadapi Gaza akibat perang Israel-Hamas.  

Indonesia merupakan penyokong tegar Palestin, selain menggesa penyelesaian konflik berdasarkan parameter dipersetujui antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk penyelesaian dua negara.

Dalam pada itu, Ganjar pula menekankan mengenai cadangan perjanjian sementara berhubung Laut China Selatan, dengan menggariskan status Indonesia sebagai bukan penuntut di rantau itu.

Katanya, perjanjian sementara itu amat perlu mengambil kira isu pemodenan ketenteraan China yang berterusan dan dijangka dimuktamadkan menjelang tahun 2027.

“Usaha resolusi itu sudah lebih 20 tahun dan setakat ini tiada kemajuan,” katanya.

Sementara itu, Anies pula membangkitkan isu ancaman seperti peningkatan insiden penggodam, selain menjanjikan penubuhan struktur pertahanan siber.

“Ia bukan hanya bergantung pada teknologi itu sendiri malah intipatinya terletak pada penglibatan menyeluruh semua pihak,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya