TORONTO: Kanada mengumumkan had dua tahun ke atas pengambilan pelajar asing selepas pertumbuhan pesat sejak beberapa tahun lalu yang memburukkan lagi masalah kekurangan perumahan di negara itu.
Menurut data kerajaan, tahun lalu Kanada mengeluarkan hampir satu juta permit pelajar, kira-kira tiga kali ganda daripada jumlah yang dikeluarkan sedekad lalu.
Namun cadangan terbaharu akan mengurangkan pengambilan hampir satu pertiga daripada jumlah tersebut.
Menteri Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan, Marc Miller berkata, kerajaan akan memperkenalkan had sementara dua tahun ke atas visa pelajar, yang akan mengakibatkan pengeluaran hanya sekitar 364,000 visa tahun ini.
Cadangan baharu itu juga akan menetapkan had ke atas permit kerja lepasan ijazah yang dikeluarkan kepada pelajar asing, yang mungkin akan menggalakkan mereka pulang ke negara asal selepas menamatkan pengajian.
Permit itu sebelum ini dilihat sebagai jalan mudah untuk mendapatkan status pemastautin tetap.
Mereka yang mengikuti program sarjana atau pasca kedoktoran akan layak mendapat permit kerja tiga tahun.
Pasangan pelajar antarabangsa yang mendaftar dalam peringkat pengajian lain termasuk program sarjana dan kolej bagaimanapun tidak lagi layak mendapatkan permit tersebut.
“Penerimaan permohonan permit belajar baharu pada 2025 akan tertakluk kepada penilaian semula pada akhir tahun semasa,” katanya.
Kanada muncul sebagai destinasi popular pelajar antarabangsa kerana agak mudah untuk mendapatkan permit kerja selepas menamatkan kursus pengajian.
Tetapi lonjakan jumlah pelajar antarabangsa membawa kepada masalah kekurangan tempat tinggal hingga meningkatkan harga rumah sewa sekitar 7.7 peratus tahun lalu.-REUTERS