LONDON: Satu kajian baharu mendakwa glukosa tinggi dalam darah yang tidak terkawal boleh menyebabkan beberapa masalah kesihatan lain seperti sakit bahu atau frozen shoulder dan sindrom carpal tunnel.
Lapor Daily Mail, gula berlebihan dalam darah yang memberi kesan terhadap penghidap diabetes, sudah lama dikaitkan dengan komplikasi di bahagian kaki dan tapak kaki.
Malah, masalah itu kadangkala boleh menyebabkan ulser yang dijangkiti kuman sehingga membawa kepada amputasi.
Keadaan itu juga dikaitkan dengan masalah otot dan tulang di bahagian atas badan.
Namun, kajian dilakukan oleh sekumpulan saintis di Universiti Exeter di United Kingdom (UK) merupakan yang pertama mengemukakan bukti bahawa masalah itu disebabkan oleh gula tinggi dalam darah.
Para penyelidik menganalisis data genetik membabitkan 370,000 peserta dalam kajian UK Biobank.
UK Biobank merupakan pangkalan data bioperubatan berskala besar yang mengandungi maklumat mengenai genetik, gaya hidup dan kesihatan.
Kumpulan penyelidik menemukan bukti kukuh bahawa individu mempunyai gula tinggi dalam darah yang tidak terkawal atau dikenali hiperglisemia, juga lebih cenderung mengalami komplikasi di bahagian atas badan.
Komplikasi itu antaranya frozen shoulder, sindrom carpal tunnel berikutan tekanan kepada saraf median pada pergelangan tangan, penyakit Dupuytren dan trigger finger atau jari bengkok iaitu mengalami kekejangan dan sensasi terkunci.
Kajian itu mencadangkan lama kelamaan hiperglisemia meningkatkan tahap kandungan dalam badan yang digelar sebagai advanced glycation end products (AGEs) yang terbentuk apabila protein, lemak dan DNA bercampur dengan gula dalam saluran darah.
Dilaporkan, pengumpulan AGEs yang dikesan di tangan penghidap Dupuytren dan individu mengalami frozen shoulder, mengakibatkan kerosakan dan penebalan tendon, sendi dan tisu penghubung yang menyebabkan masalah tersebut.
“Kajian kami secara konsisten menunjukkan individu mempunyai kandungan gula tinggi dalam darah dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan masalah di bahagian atas badan.
“Kini, kita boleh mengklasifikasikannya sebagai komplikasi diabetes,” kata ketua penyelidik dari Sekolah Perubatan Universiti Exeter, Dr. Harry Green.