BOSTON: Sekeping kad menu rasmi untuk majlis jamuan negara yang mengandungi tandatangan bekas pemimpin China, Mao Zedong, dijual pada harga AS$275,000 (RM1.26 juta) dalam satu acara lelongan.
Firma lelongan RR berpangkalan di Boston memaklumkan kad menu itu dilelong pada Rabu lalu.
Jelasnya, kad menu itu disediakan untuk majlis jamuan yang diadakan di Beijing pada 19 Oktober 1956 sempena memperingati lawatan negara pertama Perdana Menteri Pakistan, Huseyn Shaheed Suhrawardy ke China.
Menu itu ditandatangani oleh enam tokoh negarawan yang berpengaruh termasuk Mao Zedong dan Perdana Menteri, Zhou Enlai menggunakan pen mata air.
Majlis jamuan itu menampilkan makanan dari kedua-dua negara termasuk hidangan istimewa seperti itik panggang Peking, Consommé of Swallow Nest and White Agaric dan Shark’s Fin in Brown Sauce.
“Memiliki menu ditandatangani oleh Mao Zedong dan Zhou Enlai adalah seperti memiliki sesuatu amat berharga dari masa lalu.
“Ia adalah karya yang menceritakan kisah penglibatan diplomatik, pertukaran budaya dan jalinan persahabatan selama beberapa dekad lalu,” kata Naib Presiden Eksekutif firma lelongan RR, Bobby Livingston dalam satu kenyataan.
Selain itu, beberapa barang lain turut dijual dalam acara lelongan itu.
Antaranya mesin pengekodan Enigma era Perang Dunia Kedua yang masih beroperasi sepenuhnya pada harga AS$206,253 (RM 947,732), dokumen ditandatangani Thomas Edison untuk paten mentol lampu pada harga AS$22,154 (RM101,797) dan cek tanda tangan Steve Jobs kepada RadioShack dijual sebanyak AS$46,063 (RM211,659).
Cek bertarikh 23 Julai 1976 dibayar kepada RadioShack dengan harga AS$4.01 (RM18.42) dan ditandatangani oleh Steve Jobs pada tahun sama beliau dan Steve Wozniak melancarkan Apple di Silicon Valley. – AP