AMMAN: Tentera Jordan menuduh Israel merosakkan sebuah hospital lapangan negara itu di Semenanjung Gaza, serta mengakibatkan dua orang cedera semasa pengeboman di wilayah Palestin itu.
Tentera Jordan menerusi kenyataan memaklumkan hospital terletak di Khan Yunis mengalami kerosakan teruk akibat pengeboman Israel berdekatan semalaman dari Selasa hingga Rabu lalu.
Ia berlaku di tengah-tengah konflik antara rejim Zionis dan Hamas, susulan serangan mengejut kumpulan pejuang itu ke atas Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Jelas kenyataan tersebut, pengeboman itu turut mengakibatkan seorang pegawai perubatan di hospital terbabit mengalami kecederaan di bahagian paha dan tangan.
Menurut kenyataan, pegawai perubatan itu akan dibawa segera ke Jordan untuk rawatan selanjutnya.
“Seorang penduduk Gaza yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) juga cedera terkena serpihan dan peluru semasa serangan itu.
“Angkatan bersenjata Jordan berpendirian Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan kakitangan hospital,” jelas kenyataan itu dengan memetik sumber kanan tentera.
Tambah kenyataan, serangan itu jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva.
Selain itu, tentera Jordan menggesa Israel supaya tidak mengambil `sebarang langkah yang menghalang kakitangan perubatan daripada menjalankan tugas mereka’.
“Hospital itu akan terus beroperasi untuk menjalankan tugas perubatan dan kemanusiaannya,” jelas kenyataan itu.
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menafikan dakwaan melancarkan serangan menyasarkan hospital lapangan itu.
“IDF tidak menyerang hospital lapangan Jordan di Khan Yunis.
“Pasukan kami diberi taklimat mengenai kepentingan bertindak dengan kepekaan apabila menghampiri fasiliti perubatan,” katanya sambil menambah bahawa hospital itu tidak terjejas, berfungsi sepenuhnya dan masih menyediakan rawatan kepada pesakit. – AFP