WASHINGTON: Pesawat Alaska Airlines yang membawa seramai 177 penumpang dan anak kapal terpaksa melakukan pendaratan cemas di Oregon, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Syarikat penerbangan memaklumkan tindakan itu dilakukan selepas penumpang mengadu panel tingkap pesawat berkenaan tercabut selepas kapal terbang itu berlepas dari lapangan terbang.
Penerbangan 1282 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland kira-kira pukul 5 petang (waktu tempatan) sebelum melakukan mendarat semula dalam keadaan selamat selepas anak kapal melaporkan isu tekanan kabin.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) menjelaskan perkara itu di platform aplikasi X.
Beberapa gambar dimuat naik di laman media sosial menunjukkan panel tingkap pesawat tercabut, dengan topeng oksigen kecemasan tergantung di siling pesawat berkenaan.
Seorang penumpang dikenali sebagai Kyle Rinker berkata tingkap pesawat itu tercabut tidak lama selepas kapal terbang berlepas.
Seorang lagi penumpang brnama Vi Nguyen memberitahu dia terkejut mendengar bunyi kuat semasa penerbangan.
Sementara itu, Xinhua melaporkan Alaska Airlines menggantung perkhidmatan semua pesawat Boeing 737-9 milik syarikat penerbangan ituu.
Tindakan dibuat berikutan kejadian membabitkan penerbangan 1282.
“Kami memutuskan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggantung sementara 65 pesawat Boeing 737-9,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Alaska Airlines, Ben Minicucci dalam satu kenyataan. – AFP/XINHUA